Parti politik mesti ‘centrist’, kata wakil rakyat pembangkang

Parti politik mesti ‘centrist’, kata wakil rakyat pembangkang

Ahli Parlimen Bersatu Saifuddin Abdullah berkata parti politik tidak boleh berada di sisi ekstrim iaitu fahaman politik terlalu kiri atau kanan.

Saifuddin Abdullah
Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah berkata membangun demokrasi pelbagai kaum dan moderat adalah manhaj demokrasi Malaysia yang tepat.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menyeru semua parti politik berada di pertengahan atau bergerak ke arah itu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, berkata Malaysia sebagai negara majmuk menjadikannya berpeluang mengamalkan ajaran al-Quran iaitu lita’arafu (saling mengenali, mengapresiasi, dan bekerjasama) dan rahmatan lil ‘alamin (rahmat untuk semua).

“Kita mesti berada di pertengahan (centrist), atau bergerak ke arah itu, dan tidak berada di sisi yang ekstrim, iaitu faham politik terlalu kiri atau kanan.

“Kita mesti mengukuhkan perpaduan yang komprehensif, meningkatkan inklusiviti yang substantif dan membasmi diskriminasi kaum,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Belia.

Wakil rakyat Bersatu itu berkata, demokrasi lebih matang memerlukan ekosistem politik baharu dan segar, sambil merujuk penolakan kerangka lama iaitu percaturan oleh elit politik.

Beliau turut mencadangkan kerangka ‘centripetalism’ iaitu kerjasama semua pihak di pertengahan dengan ahli politik berkempen meraih undi pelbagai kaum, bukan daripada kaumnya sahaja, sekali gus menyederhanakan seruan politiknya, dan mengetepikan isu sempit serta memecahbelahkan.

“Kedua, ‘insentif perundingan’, ialah wujudnya pelbagai platform, contohnya, dialog, townhall, dan majlis perundingan, di mana ahli politik dan semua pihak (kerajaan, perniagaan, masyarakat sivil) berbincang dan membuat persefahaman,” katanya yang juga bekas presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Saifuddin turut menyeru parti politik menerima keanggotaan pelbagai kaum dan menawarkan dasar berciri rentas kaum dan moderat.

Mengulas mengenai sambutan Hari Belia, beliau berkata MBM menjadi badan amat signifikan dalam pembangunan politik kerana hampir setiap Kabinet persekutuan dan lantikan exco mereka lahir daripada pertubuhan itu.

“Pada saya, ini menjadikan MBM sekolah politik Malaysia yang ampuh, khususnya dalam membangun demokrasi pelbagai kaum dan moderat, iaitu manhaj demokrasi Malaysia yang tepat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.