Malaysia umum 6 inisiatif baharu terhadap usaha keamanan global

Malaysia umum 6 inisiatif baharu terhadap usaha keamanan global

Antaranya Malaysia akan daftar satu batalion infantri diatur gerak sebagai pasukan pengaman bawah Sistem Keupayaan dan Kesiagaan Operasi Pengaman PBB.

Khaled Nordin
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berucap dalam forum ‘UN Peacekeeping Ministerial 2025’ di Berlin, Jerman.
PETALING JAYA:
Malaysia terus menunjukkan komitmen padu terhadap usaha keamanan global dengan mengemukakan enam inisiatif baharu sebagai Aku Janji Malaysia 2025 dalam forum ‘UN Peacekeeping Ministerial 2025’ di Berlin, Jerman.

Forum itu menghimpunkan lebih 80 anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi platform penting bagi negara membentangkan sumbangan mereka dalam misi pengaman antarabangsa.

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, yang mewakili negara mengumumkan Malaysia akan mendaftar satu batalion infantri untuk diatur gerak sebagai pasukan pengaman bawah Sistem Keupayaan dan Kesiagaan Operasi Pengaman PBB (Peacekeeping Capability Readiness System – PCRS).

Kementerian Pertahanan berkata, Malaysia turut akan meningkatkan keupayaan pasukan pemusnah bom (EOD) bagi kontinjen MALBATT di Lubnan.

Katanya, Malaysia juga komited terus memperkasa aspek latihan dan pembinaan kapasiti dengan meneruskan penawaran kursus kepada anggota pengaman dalam dan luar negara.

“Kursus United Nations Staff Officer (UNSO) Specialised Training Materials (STM) Training of Trainers (ToT) akan turut dianjurkan di Pusat Pengaman Malaysia (PPM) sebagai sebahagian daripada usaha ini,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Pertahanan berkata, inisiatif lain diumumkan seperti dalam memastikan penyertaan inklusif, Malaysia beriltizam meneruskan sokongan terhadap agenda PBB berkaitan wanita, keamanan dan keselamatan (WPS).

“Ini dengan mengekalkan penyertaan anggota pengaman wanita dalam misi PBB, sejajar sasaran ditetapkan badan dunia itu,” katanya.

Katanya, dua lagi inisiatif diketengahkan adalah penyediaan pasukan latihan bergerak (MTT) serta pakar perubatan bagi melatih anggota perubatan misi PBB.

Menurutnya, Malaysia juga akan menyediakan satu formed police unit (FPU) terdiri 160 anggota serta 32 pegawai polis sebagai individual police officer (IPO) untuk menyertai misi pengaman naungan PBB.

“Penglibatan Malaysia dalam UN Peacekeeping Ministerial Meeting 2025 ini menzahirkan komitmen berterusan terhadap keamanan sejagat serta menyokong peranan aktif negara dalam memperkukuh kerjasama pertahanan dan kemanusiaan di peringkat global selaras Kertas Putih Pertahanan Negara (KPP),” katanya.

Sementara itu, Khaled juga mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius pada mesyuarat berkenaan.

Kementerian Pertahanan berkata, dalam sesi tersebut, kedua-dua menteri mengulangi komitmen mengukuhkan kerjasama pertahanan melalui inisiatif seperti misi keamanan, latihan ketenteraan dan usaha memastikan kestabilan serantau.

“Kedua-dua negara juga menyatakan komitmen untuk bekerjasama mencapai matlamat bersama demi kestabilan dan keamanan di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Selain itu, Khaled juga mengadakan pertemuan bilateral bersama Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto semasa menghadiri forum tersebut.

Kementerian berkata, kedua-dua negara berhasrat membawa hubungan serta kerjasama ke tahap lebih tinggi, termasuk meneroka kaedah perolehan secara kerajaan ke kerajaan (G2G) bagi produk pertahanan.

“Itali turut menyatakan kesediaan berkongsi kepakaran dalam keselamatan siber, kecerdasan buatan dan teknologi komunikasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.