Dadah, pistol tiruan disorok dalam kereta milik Yusoff Rawther, kata pendakwaan

Dadah, pistol tiruan disorok dalam kereta milik Yusoff Rawther, kata pendakwaan

Pendakwaan berhujah Yusoff Rawther perlu membela diri atas tuduhan edar dadah dan miliki senjata api tiruan.

Yusoff Rawther
Yusoff Rawther menafikan semua tuduhan dan mendakwa dadah serta pistol tiruan itu diletakkan pihak lain untuk memerangkapnya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas pembantu penyelidik, Yusoff Rawther mempunyai pengetahuan mengenai kewujudan pistol tiruan dan dadah yang disembunyikan dalam sebuah kereta kerana dia adalah pemilik eksklusif kenderaan itu, kata pendakwaan.

Pendakwaan berkata Yusoff berdiri di sebelah kereta itu ketika pasukan serbuan polis mendekatinya selepas dua jam pemantauan.

Menurut pendakwaan, tiga saksi memberi keterangan bahawa kad pengenalan Yusoff ditemui dalam kereta yang diletakkan di luar sebuah kondominium.

“Dokumen milik tertuduh, seperti kad pengenalan, menguatkan inferens bahawa dia mempunyai jagaan dan kawalan terhadap barang-barang lain dalam kenderaan itu,” menurut hujahan bertulis yang difailkan di Mahkamah Tinggi hari ini.

Pendakwaan juga menyatakan bahawa Yusoff mempunyai kunci kereta dan membantu polis menjalankan pemeriksaan dalam kenderaan tersebut.

Katanya, Yusoff pasti tahu di mana dia menyimpan atau menyorokkan barang lain dalam kereta.

“Tertuduh dengan bijak menyembunyikan 305g dadah di tempat duduk belakang, menunjukkan dia mempunyai pengetahuan, jagaan dan kawalan,” kata pendakwaan.

Tambahnya, Yusoff perlu diarahkan membela diri atas pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan kerana pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie.

Pendakwaan berkata Yusoff dianggap sebagai pengedar dadah kerana memiliki lebih 200g ganja, dan tidak pernah menyatakan kepada polis bahawa dadah itu adalah untuk kegunaan sendiri sebagai penagih.

Menurutnya, pistol tiruan tersebut ditemui di bawah tempat duduk penumpang hadapan kiri kereta milik tertuduh yang dia disembunyikan untuk mengelakkan dikesan.

Yusoff dalam pembelaannya berhujah bahawa dadah dan pistol tiruan itu diletakkan pihak lain untuk memerangkapnya.

Dia didakwa mengedar 305g ganja yang ditemui dalam kenderaan yang diparkir di hadapan surau IPK Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 Sept 2024. Dadah itu didakwa dibungkus dalam beg plastik hitam.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara, pada 9.25 pagi, 6 Sept 2024.

Tuduhan dikemukan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM5,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Sabri Othman dan Shahrizzat Amadan mewakili pendakwaan, manakala Yusoff diwakili peguam Rafique Rashid Ali dan Gurdial Singh Nijar.

Hakim Mahkamah Tinggi Jamil Hussin dijadual menyampaikan keputusan pada 12 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.