
Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman itu terhadap Yuliana Saat, 50, dan Azmi Amir Lunji, 48, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tuduhan melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan, lapor Harian Metro.
Mengikut tuduhan, Yuliana dan Azmi yang bertugas sebagai pembantu pendaftaran Gred KP22 di JPN Cawangan Semporna, masing-masing secara rasuah memperolehi wang tunai daripada seorang wanita sebanyak RM2,000 pada 26 April 2017.
Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk menerima dan memproses permohonan pendaftaran kad pengenalan anak kembar wanita itu yang berusia 12 tahun.
Mereka didakwa atas pertuduhan pindaan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun Denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rekhraj Singh manakala Yuliana diwakili peguam Datu Baginda Datu Laja, dan Azmi diwakili peguam Jakariya Ab Jalil.
Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu notis permohonan rayuan kedua-kedua tertuduh difailkan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari dari tarikh sabitan.
Bagaimanapun kedua-dua tertuduh dikehendaki menjelaskan bayaran denda pada hari ini.