Rusia rakan karib Malaysia, kata PM

Rusia rakan karib Malaysia, kata PM

Vladimir Putin pula menyifatkan Malaysia sebagai rakan boleh dipercayai dan penting bagi Rusia.

Anwar Ibrahim menyuarakan harapan untuk kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara semasa pertemuannya dengan Vladimir Putin di Moscow. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan Rusia sebagai rakan karib Malaysia dan akan terus menghormati negara itu.

Anwar dalam pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin turut menyuarakan harapan kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan penting dalam beberapa hari akan datang, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti.

Perdana Menteri Malaysia tiba di Moscow, Rusia untuk lawatan rasmi mulai semalam sehingga 16 Mei.

Putin pula menyifatkan Malaysia sebagai rakan boleh dipercayai dan penting bagi Rusia

Beliau juga menyatakan hubungan ekonomi antara Rusia dan Malaysia adalah stabil dan berada pada tahap terbaik walaupun perdagangan dua hala mencatat sedikit penurunan tahun lalu

“Suruhanjaya Antara Kerajaan perlu beri perhatian terhadap perkara ini, mencari punca dan melakukan segala usaha untuk memastikan trend pembangunan yang positif,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Anwar diberikan sambutan rasmi di Kremlin yang menempatkan kediaman rasmi Putin sekali gus mencerminkan detik penting dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Sejurus ketibaan beliau pada 1.48 tengah hari waktu tempatan (6.48 petang waktu Malaysia), Anwar telah disambut oleh Putin di Bilik Hijau.

Kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan mesyuarat tertutup sebelum Anwar, yang juga menteri kewangan, menghadiri majlis makan tengah hari dan mengadakan mesyuarat bersama delegasi kedua-dua negara.

Beliau mengetuai delegasi negara terdiri daripada Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani serta Duta Besar Malaysia ke Rusia Cheong Loon Lai.

Delegasi Putin pula terdiri daripada Menteri Luar Sergey Lavrov, Timbalan Pengerusi Pertama Kerajaan Rusia Denis Manturov, Timbalan Ketua Turus Pejabat Eksekutif Presiden Maxim Oreshkin dan Timbalan Ketua Turus Pentadbiran Kepresidenan merangkap Setiausaha Akhbar Dmitry Peshkov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.