
Berucap pada majlis pelancaran buku di sini, Ahli Parlimen Subang itu berkata beliau melihat perubahan jangkaan dalam kalangan ahli, di mana mereka kini mahu acara parti diadakan di lokasi yang lebih selesa.
Merujuk kepada peningkatan penggunaan hotel sebagai lokasi acara politik, Wong Chen mempersoalkan sumber untuk menganjurkan perjumpaan seperti itu.
“Dahulu, program reformasi kita diadakan di kedai kopi dan pondok. Sekarang, semuanya di hotel. Duit itu datang dari mana? Sejujurnya, saya sendiri pun tak tahu,” katanya.
Beliau juga berkata gaji bulanannya sebanyak RM16,000 hanya cukup-cukup untuk menampung keperluan keluarganya, apatah lagi untuk membiayai kegiatan politik atau program parti.
“Kami sebenarnya dibayar rendah berbanding apa yang perlu kami tanggung, terutama menggaji staf dan pengurusan kawasan Parlimen,” katanya sambil mencadangkan Malaysia mencontohi Singapura dalam pemberian gaji lebih tinggi kepada wakil rakyat.
Beliau bercakap pada majlis pelancaran buku “Misgovernance: Grand Corruption in Malaysia” karya Pengerusi Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Edmund Terence Gomez.
Dalam pada itu, Wong Chen turut menggesa agihan lebih adil terhadap peruntukan pembangunan kawasan Parlimen yang ketika ini tidak diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
“Malaysia mempunyai kawasan luar bandar dan keperluan politik yang unik, jadi kami perlukan peruntukan ini – kira-kira RM3.5 juta setahun – untuk Ahli Parlimen menjalankan kerja kemasyarakatan. Tetapi pembangkang juga mesti menerimanya,” katanya.
Wong Chen memberi amaran bahawa Ahli Parlimen pembangkang mungkin akan tergoda untuk melompat parti jika agihan dana pembangunan terus tidak adil.