Kehadiran IO ketika mohon reman, Mahkamah Rayuan perlu buat keputusan, kata peguam

Kehadiran IO ketika mohon reman, Mahkamah Rayuan perlu buat keputusan, kata peguam

Bekas presiden Badan Peguam, Salim Bashir, kata keputusan Mahkamah Tinggi yang bercanggah menimbulkan kekeliruan.

Court of Appeal
Bekas presiden Badan Peguam, Salim Bashir kata keputusan Mahkamah Rayuan akan beri kejelasan pada undang-undang.
PETALING JAYA:
Keputusan Mahkamah Rayuan perlu untuk menyelesaikan ketidakpastian undang-undang tentang sama ada majistret boleh mengeluarkan perintah reman tanpa kehadiran pegawai penyiasat, kata bekas presiden Badan Peguam.

Ini kerana keputusan Mahkamah Tinggi yang bercanggah telah menimbulkan kekeliruan, kata Salim Bashir.

“Tidak kira apa hasilnya, keputusan Mahkamah Rayuan akan mengikat mahkamah bawahan dan membawa kejelasan kepada undang-undang,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, keputusan terbaharu Mahkamah Tinggi perlu diikuti sehingga Mahkamah Rayuan selesaikan perkara ini.

Salim, yang sebelum ini mengetuai jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam, mengulas keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan perintah reman kerana ketiadaan IO, minggu lalu. Ia mengisytiharkan prosiding itu menyalahi undang-undang.

Hakim Jamil Hussin memutuskan bahawa Seksyen 117(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) perlu dipatuhi secara ketat.

Beliau berkata peruntukan itu hanya membenarkan pegawai penyiasat, dan bukannya mana-mana anggota polis atau wakil-wakil lain pegawai penyiasat berkenaan, untuk hadir pada perbicaraan reman.

Jamil berkata majistret di pusat reman Jinjang sepatutnya menolak permohonan reman memandangkan IO tidak hadir.

Sementara itu, dalam keputusan Mahkamah Tinggi Julai lalu, Hakim Abu Bakar Katar membatalkan perintah reman selepas menyatakan bahawa seorang sarjan polis tidak boleh hadir mewakili IO.

Kedua-dua keputusan itu bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Julai lalu oleh Pesuruhjaya Kehakiman Kan Weng Hin, yang berpendapat perintah reman masih sah jika pegawai polis lain yang arif tentang kes itu hadir menggantikan IO.

Seorang peguam, Rafique Rashid Ali, berkata perkara itu perlu didengar oleh sidang hakim Mahkamah Rayuan yang besar kerana kesannya ke atas penguatkuasaan undang-undang dan hak suspek.

“Majistret perlu menyoal IO mengenai apa yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lepas untuk mewajarkan penahanan selanjutnya. Ini penting untuk memastikan kebebasan suspek dilindungi,” katanya.

Seksyen 117(1) KTJ membolehkan polis mendapatkan tahanan tambahan jika siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Rafique berkata jika keputusan itu bertentangan dengan pihak pendakwaan, Parlimen masih boleh meminda undang-undang.

FMT telah menghubungi Peguam Negara Dusuki Mokhtar untuk mendapatkan ulasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.