
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Ahmad Ismail, berkata langkah segera itu perlu supaya orang ramai lebih peka keadaan jalan raya dan pada masa sama mengelak kemalangan dengan haiwan liar.
“Pihak berkuasa mesti mengetuai dan memberi nasihat untuk tindakan bersama dalam memastikan hidupan liar selamat.
“Bagi jangka pendek, pendidikan awam melalui media perlu diberikan supaya mereka mengikuti peraturan jalan raya seperti kawalan had laju dan langkah keselamatan ketika melalui kawasan berkenaan,” katanya kepada FMT.
Ahad lalu, video menyayat hati berdurasi seminit 11 saat yang tular di media sosial mengundang simpati warganet, memaparkan tindakan ibu gajah enggan berganjak dari lokasi kerana mahu ‘menyelamatkan’ anaknya.
Kemalangan kira-kira 2 pagi itu membabitkan sebuah lori muatan ayam dan seekor anak gajah yang ditemui terperosok di bahagian bawah hadapan lori berkenaan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika, mencadangkan pihak berwajib menempatkan petugas hidupan liar dan anggota kawalan trafik lebuh raya untuk menjalankan rondaan berkala di kawasan rayau yang tidak mempunyai lintasan haiwan atau ‘animal viaduct’.
“Royal Belum adalah kawasan hutan luas dan tebal, ia merupakan tempat haiwan liar seperti gajah, harimau, seladang. Kita akan sering lihat haiwan ini lalu lintas untuk berpindah.
“Walaupun pihak berkuasa sedar kawasan ini memang wujud, kumpulan gajah ini akan lalu di kawasan yang mereka akan lalu, jadi bila tidak ada lintasan haiwan di situ, tak nampak usaha wujud persekitaran selamat bagi pengguna jalan raya dan haiwan liar,” katanya.
Arie berkata, pihaknya mengemukakan cadangan pembinaan lintasan haiwan kepada kerajaan sejak 2018, namun tiada perkembangan baru dilaporkan selepas pembinaan terakhir di Gerik, Perak pada 2015.
Katanya, antara lokasi lintasan haiwan liar yang ada di Semenanjung membabitkan koridor ekologi Sungai Deka, Terengganu iaitu tiga lintasan dibina pada 2009.
Manakala, tiga lintasan dibina pada 2014 di koridor ekologi Sungai Yu, Pahang, dan dua di Gerik yang dibina pada 2015.