
Bercakap kepada FMT, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata Rafizi sedar pelantikannya ke Kabinet berdasarkan kedudukannya dalam PKR dan bukan kerana kepakaran dalam bidang ekonomi.

“Ada individu lain lebih layak dalam bidang itu. Beliau tahu menjadi menteri kerana jawatan timbalan presiden PKR,” katanya kepada FMT.
Dalam program audio siar Yang Bakar Menteri, Rafizi berkata meninggalkan Kabinet akan memberi kelegaan kepadanya kerana ia memberi lebih masa serta kebebasan untuk bersuara mengenai pelbagai isu.
Beliau turut menyatakan ia akan memberinya peluang untuk menumpukan perhatian kepada tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Pandan serta membantu PKR bersiap sedia menghadapi PRU16.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata kenyataan Rafizi itu mungkin menunjukkan beliau tidak terlalu mementingkan jawatan menteri.
Namun pada masa sama beliau juga mungkin merasakan kehilangan jawatan dalam parti adalah ibarat hilang mandat untuk mewakili PKR dalam kerajaan.
“Walaupun tiada hubungan langsung antara kedua-dua jawatan itu, lazimnya kita menjangkakan menteri dilantik dalam kalangan pemimpin parti yang memerintah,” katanya.
Namun, Syaza mempersoalkan masa kenyataan itu dibuat, iaitu menjelang pemilihan parti yang seolah-olah menjadikannya seperti seorang yang kecil hati.
“Beliau ada menyatakan tidak mengapa jika beliau kalah kerana menjadi menteri itu sesuatu yang sukar. Tetapi jika beliau benar-benar percaya begitu, mengapa bertanding semula?” soalnya.
Azmi pula berkata Rafizi mungkin cuba meraih undi simpati daripada perwakilan PKR.
“(Strategi ini akan berjaya) jika perwakilan PKR merasakan beliau telah menjalankan tugas dengan baik sebagai menteri.
“Namun, ada pihak dalam PKR tidak begitu yakin dengan prestasi beliau sebagai menteri ekonomi. Jadi, ia mungkin akan memakan diri,” katanya.