
Protes hanya berlangsung selama kira-kira 10 minit sebelum pegawai AmBank memanggil ahli keluarga itu untuk berunding penyelesaian damai bagi masalah mereka membayar pinjaman perumahan.
Sejak disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik pada 2023, ketua keluarga itu, D Komagan, 49, tidak dapat terus bekerja sebagai pemandu bas, dan kos rawatannya amat membebankan.
KIni hanya tinggal isterinya, P Rany, 46, mencari nafkah untuk keluarga itu, bekerja sebagai operator kilang dengan gaji RM1,400 sebulan.
Bercakap bagi pihak keluarga itu, ahli Jawatankuasa Pusat PSM R Karthiges berkata, mereka membayar balik pinjaman perumahan RM908 sebulan, manakala kos rawatan perubatan Komagan hampir RM900 setiap bulan.
“Mereka ada tiga anak yang bersekolah. Komagan perlu jalani dialisis tiga kali seminggu dan tidak mampu bayar pinjaman (perumahan). Hanya isterinya bekerja dan beliau perlu tanggung keluarga itu sendirian,” katanya kepada pemberita.
Keluarga itu berhenti membayar balik pinjaman pada Oktober tahun lepas kerana tidak cukup wang dan menerima notis ingkar daripada AmBank pada Januari.
Mereka berkata, mereka menghubungi bank itu tetapi diberitahu mereka perlu membayar balik pinjaman walaupun mengalami kesulitan kewangan.
Keluarga itu kemudian menghubungi PSM untuk mendapatkan bimbingan dan dinasihatkan agar menuntut polisi Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji (MRTA).
“Selepas keluarga itu hubungi pihak bank, mereka ditanya, ‘Siapa beritahu (tentang polisi MRTA)?’ Hanya selepas PSM terlibat barulah mereka dapat borang yang diperlukan,” kata Karthiges.
“Kemudian, (pihak bank) minta laporan perubatan, yang kami serahkan dengan segera. Beberapa minggu kemudian, mereka minta lebih banyak dokumen dan kami (juga) serahkannya.”
Walaupun berusaha, keluarga itu menerima notis bahawa rumah mereka akan dilelong minggu depan.
Susulan rundingan hari ini, AmBank bersetuju mengeluarkan surat rasmi dalam tempoh dua hari untuk menghentikan lelongan itu, kemudian keluarga itu perlu membuat bayaran pendahuluan RM1,000. Keluarga itu sedang berusaha mengumpul dana dengan bantuan PSM.
Bank kemudiannya akan menstruktur semula pinjaman perumahan selepas MRTA diluluskan, membolehkan keluarga itu membayar ansuran bulanan yang dikurangkan, antara RM400 hingga RM500 berbanding RM908 sebelum ini.
Memuji keputusan itu, Karthiges bagaimanapun berkata, situasi ini mendedahkan kelemahan dalam komunikasi sistem perbankan berhubung MRTA.
“Terlalu banyak keluarga tidak tahu tentang kelayakan MRTA mereka. Pegawai (yang menguruskan pelanggan) sama ada tidak maklum tentang perkara ini atau gagal menjelaskannya dengan tepat,” katanya.
Beliau berkata, bank mempunyai tanggungjawab moral dan sosial, terutamanya dalam kes melibatkan penyakit yang mengancam nyawa, dan kesulitan kewangan.
“Perumahan ialah hak asasi (setiap insan). Ke mana anak-anak mereka akan pergi jika rumah mereka diambil?
“Kami gesa semua bank di Malaysia agar mempertimbangkan semula tindakan melelong (rumah), sebaliknya meneroka alternatif yang lebih berperikemanusiaan, seperti penstrukturan semula pinjaman,” katanya.