‘Apa lagi kami boleh kata’, PAS Terengganu sedia disiasat

‘Apa lagi kami boleh kata’, PAS Terengganu sedia disiasat

Penolong Setiausaha PAS Terengganu Hanafiah Mat ulas desakan pihak yang mahu tindakan tegas dikenakan susulan kontroversi Jalur Gemilang silap.

PAS sudah membuat permohonan maaf dan mengeluarkan versi baharu logo himpunan Teguh Memimpin Terengganu 2025. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS Terengganu terbuka jika pihak berkuasa ingin meneruskan siasatan berhubung kesilapan memaparkan imej Jalur Gemilang.

Penolong Setiausaha, Hanafiah Mat, berkata PAS juga tidak boleh menghalang pihak masih tidak berpuas hati yang berterusan mendesak siasatan dijalankan walaupun permohonan maaf sudah dibuat.

Hanafiah Mat.

“Kami sudah mengaku kesilapan, pihak urus setia program juga sudah minta maaf dan segera membetulkan kesilapan itu. Apa lagi kami boleh katakan…itu sahaja kami boleh jelaskan,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, PAS Terengganu dilaporkan membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kontroversi logo himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 yang memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.

Sekretariat program memaklumkan, pihaknya menarik semula penggunaan logo itu dan mengeluarkan versi baharu.

Semalam, pemimpin parti kerajaan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap PAS Terengganu susulan kontroversi itu.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, berkata walaupun permohonan maaf dibuat, ia tidak seharusnya menjadi penyelesaian setiap kali simbol negara dihina mahupun disalah guna.

Neow mengingatkan tentang respons PAS terhadap kontroversi berkait penerbitan Jalur Gemilang silap sebelum ini dan menegaskan tindakan harus diambil ‘tanpa pilih kasih’.

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, pula meminta Ahli Parlimen menggubal undang-undang mengenai perkara itu supaya tindakan lebih keras boleh digunakan.

Sementara itu, Hanafiah yang juga Adun Cukai berkata beliau akan membawa isu tersebut dalam mesyuarat mingguan PAS Terengganu termasuk membincangkan setiap pandangan dibangkitkan pelbagai pihak susulan kontroversi berkenaan.

Sebelum ini, selain Kementerian Pendidikan dan Sin Chew Daily, akhbar Kwong Wah Yit Poh dan vendor pameran dari Singapura turut dilaporkan memaparkan imej Jalur Gemilang silap, mendorong pelbagai pihak termasuk PAS menuntut tindakan tegas diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.