3 pegawai bank direman kes ubah wang haram, rasuah lebih RM21 juta

3 pegawai bank direman kes ubah wang haram, rasuah lebih RM21 juta

Mereka disyaki bersama-sama miliki, ubah, pindah dan guna wang hasil bayaran rasuah yang diterima daripada tiga syarikat sekitar 2024.

macc sprm
Tiga lelaki terdiri daripada pengurus perniagaan, ketua jabatan dan pengurus cawangan itu ditahan ketika hadir memberi keterangan.di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, semalam.
PETALING JAYA:
Tiga pegawai di dua institusi perbankan di ibu negara yang ditahan semalam direman lima hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes pengubahan wang haram dan rasuah membabitkan permohonan pinjaman lebih RM21 juta.

Perintah reman dikeluarkan terhadap pengurus perniagaan, ketua jabatan dan pengurus cawangan itu selepas Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Sesyen Putrajaya, lapor Bernama.

Dilaporkan semalam tiga lelaki berusia 30 hingga 40an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Menurut sumber, mereka disyaki bersama-sama memiliki, mengubah, memindah dan menggunakan wang hasil bayaran rasuah yang diterima daripada tiga syarikat sekitar 2024.

“Seorang daripada lelaki itu yang merupakan ketua jabatan dipercayai meminta dan menerima wang rasuah lebih RM170,000 daripada tiga syarikat yang membuat lima permohonan pinjaman keseluruhannya berjumlah lebih RM21 juta.

“Wang rasuah ini sebagai balasan kerana memproses dan meluluskan pinjaman yang dibuat oleh syarikat itu,” katanya.

SPRM turut membekukan empat akaun bank milik individu terbabit melibatkan nilai kira-kira RM268,000, serta menyita tiga peranti telekomunikasi dan sebuah komputer riba.

Dalam kes berasingan, tiga individu termasuk seorang bekas pengarah eksekutif syarikat turut direman lima hari bermula hari ini selepas disyaki bersubahat menggunakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan kira-kira RM2.5 juta.

Menurut sumber, seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 30 hingga 40an itu ditahan antara 4 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Mereka dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2024, melibatkan tuntutan bayaran balik dan bayaran bonus berjumlah kira-kira RM2.5 juta.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) serta Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.