Tak terbukti miliki dadah, pistol tiruan, peguam bela minta Yusoff dibebas

Tak terbukti miliki dadah, pistol tiruan, peguam bela minta Yusoff dibebas

Peguam dakwa, barangan itu sengaja diletakkan dalam kenderaan Yusoff Rawther, dan kes itu suatu perangkap.

Yusoff Rawther
Yusoff Rawther didakwa mengedar 305g dadah jenis kanabis yang ditemukan dalam kenderaannya pada 6 Sept 2024. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas pembantu penyelidik Yusoff Rawther mesti dibebaskan tanpa dipanggil membela diri kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan dia memiliki atau tahu tentang dadah dan pistol tiruan yang ditemukan di dalam keretanya, hujah peguamnya.

Dalam hujahan bertulis difailkan hari ini seperti yang dilihat oleh FMT, pihak pembelaan berkata, siasatan polis sangat cacat dan menyebabkan prejudis terhadap anak guam mereka.

Peguam juga mendakwa, dadah dan pistol tiruan itu diletakkan secara sengaja untuk memerangkap Yusoff, dan pegawai penyiasat memberikan ‘keterangan berat sebelah’.

Mereka menyatakan bahawa Yusoff ditahan ketika menghampiri keretanya yang diletakkan berdekatan sebuah kondominium, yang telah diperhatikan oleh polis selama dua jam.

Apabila alat kawalan jauh kereta itu gagal berfungsi, polis memecah masuk kenderaan itu dan dikatakan menemukan dua pistol tiruan sebelum menggari Yusoff.

Dalam perjalanan ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur, Yusoff duduk dalam keadaan bergari di tempat duduk belakang keretanya, yang dipandu oleh seorang pegawai polis.

Pihak pembelaan berkata, pegawai yang mengetuai serbuan itu, Wan Muhamad Wan Ali, bersetuju semasa pemeriksaan balas bahawa Yusoff tidak mempunyai kawalan ke atas keretanya dalam tempoh itu.

Polis menemukan 305g dadah jenis kanabis yang dibungkus dalam beg plastik hitam ketika memeriksa kereta itu dengan lebih lanjut di tempat letak kenderaan surau ibu pejabat polis.

Menurut pihak pembelaan, ketika pemeriksaan itu, tiada sebarang sentuhan fizikal antara Yusoff, yang masih bergari, dengan kenderaan itu.

Peguamnya berhujah, pihak pendakwaan gagal mengemukakan keterangan yang boleh dipercayai bahawa Yusoff memiliki atau tahu tentang pistol tiruan atau dadah tersebut.

Barangan tersebut hanya ditemukan selepas pemeriksaan polis, bukan menerusi sebarang maklumat mahupun pengakuan tertuduh, kata peguam.

Mereka juga menegaskan, Yusoff dinafikan perbicaraan yang adil disebabkan kelemahan dalam siasatan, selain mengulangi dakwaan bahawa kes itu suatu perangkap.

“Pegawai penyiasat memberikan keterangan berat sebelah apabila jelas pistol (tiruan) dan dadah itu sengaja diletakkan untuk memerangkap tertuduh,” kata mereka.

Yusoff didakwa mengedar sejumlah kanabis yang ditemukan dalam kenderaan yang diletakkan di depan surau ibu pejabat polis pada 10.15 pagi, 6 Sept 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.