
Cabaran itu sememangnya begitu besar, namun bagi Nurhidayu Mohamad Kamar, 35, istilah kecewa tidak pernah ada dalam kamus hidupnya, sebaliknya mensyukuri segala anugerah dikurniakan tuhan.
Empat anaknya, Izz Zahraa Ahmad Ibrahim, 12; kembar berusia 10 tahun, Izz Azelea dan Izz Adelea serta Izz Zinnirah, 7, masing-masing dilahirkan dengan pelbagai keadaan termasuk autism, gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) selain masalah pembelajaran.
Nurhidayu reda menerima suratan itu dan berusaha membesarkan mereka dengan sebaik-baiknya.
“Saya pasrah dan terima sahaja keadaan ini. Mungkin dugaan bagi saya. Namun, saya tidak pernah menolak ketentuan dan menerima mereka seadanya,” katanya kepada FMT.

Katanya, paling mencabar ialah untuk menguruskan anak ketiga, Izz Adelea yang menghidap autisme tahap sederhana dan sukar berkomunikasi.
“Dia tidak memahami bahaya di sekeliling sehingga pernah terjun bangunan dari tingkat satu. Saya bersyukur tidak ada kecederaan serius,” katanya yang menguruskan perniagaan makanan di Slim River, Perak.
Selain itu, Nurhidayu berkata dia bertuah apabila suami, Ahmad Ibrahim Ismail, 36, sentiasa memberikan sokongan dalam menguruskan anak mereka, jika tidak ia sukar dilakukan bersendirian.
Katanya, biarpun kadangkala berasa penat namun tetap bersemangat melayani ragam anak-anak dan tidak pernah menganggap mereka sebagai beban.
“Suami sangat menyokong. Sebenarnya, jika dibandingkan antara saya dan suami, dia lebih penyabar. Dia sangat sabar dalam mengurus anak-anak.
“Cuma apa yang penting ialah, ibu bapa anak-anak istimewa ini perlu sentiasa mendalami ilmu berkaitan keadaan mereka. Pengetahuan itu bukan hanya membantu mereka tetapi menyumbang kepada perkembangan positif juga.
“Saya dan suami banyak belajar daripada pakar terapi di hospital dan kadangkala mengambil maklumat dan tip di internet,” katanya yang turut menerima sokongan positif daripada keluarga dan sekolah.
Bagaimanapun, Nurhidayu tidak menafikan dirinya sentiasa bimbang keselamatan anak-anak ketika berdepan dunia luar yang persekitarannya semakin mencabar.
“Saya tidak boleh sentiasa bersama mereka di sekolah, kadangkala ada juga yang mengejek. Saya cuma berharap suatu masa nanti dia pandai dan boleh bawa diri.
“Saya dan suami juga meletakkan kepercayaan tinggi bahawa anak sulung boleh mengambil peranan menjaga adik-adiknya apabila kami sudah tiada,” katanya.