Ramasamy akan didakwa atas tuduhan rasuah esok, kata peguam

Ramasamy akan didakwa atas tuduhan rasuah esok, kata peguam

Shamsher Singh Thind berkata SPRM tidak mendedahkan butiran pertuduhan itu.

rama
Sumber kanan SPRM sebelum ini berkata P Ramasamy sedang disiasat berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan pemerolehan oleh Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), yang diselianya.
GEORGE TOWN:
Bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang P Ramasamy akan didakwa atas tuduhan salah guna kuasa esok, menurut peguamnya.

Shamsher Singh Thind berkata anak guamnya berusia 76 tahun itu akan dibawa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Sesyen di Butterworth untuk menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Pertuduhan di bawah seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Shamsher menambah bahawa SPRM tidak mendedahkan butiran pertuduhan itu. Bagaimanapun, pada Disember, sumber kanan SPRM memberitahu FMT bahawa Ramasamy sedang disiasat berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan pemerolehan oleh Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), yang diselianya.

Ramasamy menafikan dakwaan itu, berkata bahawa kewangan PHEB telah diaudit dan diluluskan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Kami menggesa semua orang membenarkan proses undang-undang diteruskan dan mengelakkan spekulasi,” kata Shamsher.

Siasatan ke atas pembelian pedati bersalut emas pada 2019 dengan harga RM800,000 susulan aduan bahawa PHEB telah membayar lebih untuk kerja yang tidak berkualiti.

Ramasamy, yang mempengerusikan PHEB dari 2010 hingga 2023, menegaskan ia bersalut emas, bukan emas tulen. Beliau juga berkata perjanjian itu melalui tender terbuka, kelulusan lembaga pengarah dan pengawasan ketua juruaudit.

“Untuk mengatakan ia diperbuat daripada bahan tidak berkualiti adalah mengelirukan. Ia bersalut emas, yang secara semula jadi melibatkan penggunaan logam lain,” katanya.

Menyifatkan kes itu sebagai pendakwaan politik, Ramasamy mendakwa pengkritiknya cuba memburukkan namanya. “Jika terdapat jejak wang ke akaun saya, buktikan,” katanya.

Ogos lalu, Bernama melaporkan bahawa Pengerusi PHEB RSN Rayer telah menyerahkan penemuan PHEB daripada audit forensik dalaman kepada SPRM. Rayer mendakwa bahawa audit telah mendedahkan beberapa petunjuk, tetapi tidak menjelaskannya secara terperinci

Pada 4 Dis tahun lepas, Ramasamy dilarang meninggalkan negara. Beliau kemudiannya memberi kenyataan di pejabat SPRM.

Ketua SPRM Azam Baki mengesahkan siasatan itu tahun lepas tetapi enggan mengulas lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.