Penganalisis ramal GRS-PH-BN akan berpakat, bertembung di beberapa kerusi

Penganalisis ramal GRS-PH-BN akan berpakat, bertembung di beberapa kerusi

James Chin jangka beberapa kerusi akan terbuka untuk pertandingan manakala selebihnya akan diagihkan.

GRS BN PH
Pengerusi GRS Hajiji Noor dapat sokongan penuh Anwar Ibrahim untuk ketuai perbincangan mengenai pakatan pilihan raya tiga penjuru.
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah dijangka akan berpakat dengan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional untuk PRN akan datang, tetapi dengan beberapa pertembungan antara mereka, menurut penganalisis.

James Chin dari Universiti Tasmania menjangkakan GRS memandangkan ia rakan kongsi penting dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim akan capai beberapa kesepakatan dengan BN dan PH, yang pada Jumaat mengumumkan pakatan.

“Tekaan saya kesepakatan itu akan agak mudah: semua pihak akan diperuntukkan kerusi tetapi akan ada pertandingan bebas di beberapa kerusi,” katanya kepada FMT.

“Terdapat dua jenis kerusi: kerusi yang dirundingkan antara gabungan, dan satu lagi terbuka untuk ditandingi oleh mana-mana parti.”

Pada Jumaat, GRS menyatakan kesediaan untuk bertanding sendirian pada PRN, selepas PH dan BN mengumumkan kerjasama. Pengerusi GRS Hajiji Noor berpendirian parti tempatan harus menjadi tonggak dan memimpin kerajaan negeri.

Bagaimanapun, kelmarin Pengerusi PH Anwar yakin ketiga-tiga gabungan itu akan dapat capai suatu kesepakatan bagi pilihan raya, selepas bertemu Hajiji. Beliau juga berkata PH beri sokongan penuh kepada Hajiji untuk mengetuai perbincangan mengenai potensi pakatan membabitkan tiga gabungan itu.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah, berkata ketiga-tiga gabungan itu mesti membincangkan kerjasama walaupun ia bermakna kerusi dikorbankan, kerana pertembungan pelbagai penjuru akan memecahkan undi dan memberi manfaat kepada parti lain seperti Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat yang memutuskan untuk bertanding solo.

Bilcher juga berkata pembubaran awal DUN akan beri manfaat kepada GRS kerana ia boleh meraih momentum sebagai pemerintah sambil mengganggu pesaing daripada mengatur strategi.

Ini termasuk PH-BN, jika perbincangan mengenai pakatan dengan GRS gagal, katanya.

“Walaupun menunggu lebih lama untuk mengadakan pilihan raya mungkin beri masa kepada GRS untuk mengukuhkan kedudukan dan mempersiapkan jentera, ia juga beri masa kepada pesaing untuk menguatkan diri,” katanya.

Chin berkata tarikh pilihan raya tidak akan beri banyak perbezaan. Beliau bagaimanapun tidak jangka DUN akan dibubarkan dengan cepat memandangkan rundingan kerusi masih belum bermula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.