Pasukan petugas khas ditubuh siasat nahas trak FRU, kata Loke

Pasukan petugas khas ditubuh siasat nahas trak FRU, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata pasukan dianggotai pakar itu akan kemuka cadangan penambahbaikan aspek keselamatan.

ANTHONY LOKE - ZAHID HAMIDI
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata pasukan petugas khas itu akan menyiasat punca kemalangan maut berkenaan.
PUTRAJAYA:
Kementerian Pengangkutan akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kemalangan tragis di Teluk Intan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pagi tadi.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata pasukan itu akan dianggotai oleh pakar kerajaan dan bebas yang akan menasihati kementeriannya berhubung tindakan seterusnya.

“Pasukan ini akan meneliti punca kemalangan serta mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan jalan raya terutamanya melibatkan kenderaan berat,” katanya yang menambah polis akan menyiasat kemalangan itu.

Loke berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Kemalangan pada jam 8.40 pagi itu turut menyebabkan dua anggota FRU cedera parah. Kejadian berlaku apabila sebuah lori yang membawa batu kerikil melanggar trak FRU yang membawa anggota pulang dari penugasan kawalan keselamatan di Ipoh.

Walaupun punca kejadian masih disiasat, penemuan awal menunjukkan lori terbabit mungkin mengalami kegagalan sistem stereng. Pemandu lori berkenaan telah ditahan.

Zahid berkata meskipun siasatan awal menunjukkan masalah stereng, kemalangan itu mungkin dapat dielakkan sekiranya kenderaan tersebut menjalani pemeriksaan Puspakom.

“Kita tidak boleh meletakkan kesalahan hanya pada pemandu lori sebaliknya pemilik syarikat pengangkutan juga perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Loke mendedahkan bahawa jawatankuasa Kabinet keselamatan jalan raya bersetuju untuk memohon kepada Kementerian Kewangan supaya menyalurkan 50% hasil kutipan saman trafik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada Kementerian Pengangkutan.

Dana itu, katanya, akan digunakan untuk menyokong inisiatif keselamatan jalan raya, termasuk pemasangan lampu jalan.

Mengulas mengenai kejadian anak gajah mati dilanggar lori di Lebuhraya Timur-Barat pada Ahad lalu, Loke berkata kementeriannya telah melaksanakan beberapa langkah untuk melindungi hidupan liar dan pengguna jalan raya.

“Sebagai contoh, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut merangkumi langkah mitigasi seperti laluan khas untuk haiwan liar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.