
Beliau berkata ini bagi membolehkan kementerian meneliti dan memahami pelbagai aspek melibatkan petugas anggota kesihatan terutamanya dalam isu kebajikan sebelum rumusan dan cadangan hasil libat urus dibentang kepada Jemaah Menteri pada 1 Julai, lapor Bernama.
“Kini (proses) di peringkat akhir, dan (libat urus) sudah banyak kali diadakan, tapi seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak akan buat keputusan tanpa betul-betul menyelami program kejururawatan secara terperinci.
“(Lanjutan) ini bagi saya untuk buat rumusan, tapi yang penting adalah pertimbangan kepada semua faktor, supaya apa juga keputusan nanti betul-betul adil,” katanya yang dilaporkan sebagai berkata.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan tempoh interim selama tiga bulan mulai 1 Dis 2024 hingga 28 Feb lepas bagi membuat persediaan ke arah pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam di Kementerian Kesihatan (KKM).
Pada 25 Feb, KKM memohon dan menerima kelulusan daripada JPA untuk melanjutkan moratorium daripada 1 Mac hingga 31 Mei. Pengumuman lanjutan hari ini membawa tarikh tersebut ke 1 Jun.
Pada 21 Nov lepas, Dzulkefly berkata perubahan waktu bekerja syif bagi jururawat adalah bersesuaian, tertakluk di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bermula pada 1 Dis 2024.
Beliau berkata tempoh bekerja selama 45 jam seminggu ditetapkan melalui sistem itu secara dasarnya berkurang sebanyak satu jam berbanding 46 jam seminggu di bawah Perintah Am Bab G.
Ketika ditanya mengenai isu elaun jururawat yang dibangkitkan oleh Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), beliau berkata perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat kementerian.