
Beliau berkata, penubuhan koridor gajah di kawasan berhampiran habitat juga boleh dilaksanakan, termasuk di kawasan perladangan, tanah berhutan dan persendirian.
Selain itu, syarikat perladangan kelapa sawit juga perlu bekerjasama mewujudkan rangkaian mini koridor dalam ladang masing-masing.
“Penanaman sumber makanan semula jadi gajah di kawasan koridor (juga perlu dilaksanakan) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tanaman komersial,” katanya dalam kenyataan.
Nik Nazmi turut mencadangkan pembentukan santuari gajah berkeluasan sekurang-kurangnya 10,000 hektar, selain pemasangan lampu jalan di lokasi lintasan utama haiwan itu.
Tetapi, katanya, penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama erat kerajaan persekutuan dan negeri memandangkan hutan habitat utama gajah bawah bidang kuasa negeri.
Beliau berkata, Putrajaya menyediakan insentif kewangan tambahan kepada kerajaan negeri bagi melindungi dan memulihara kawasan perlindungan di bawah Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT).
Sehingga kini, menurutnya, RM800 juta disediakan bawah EFT, termasuk RM250 juta pada tahun ini dan pelaksanaannya menunjukkan hasil baik apabila 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan diwartakan.
“Menerusi jumlah tersebut, terdapat peningkatan dari segi keluasan hutan simpan kekal (HSK) lebih 14,000 hektar. Sungguhpun begitu, menangani isu ini memerlukan lebih daripada sekadar intervensi kewangan dan teknikal.”
Berhubung kematian seekor anak gajah akibat kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Ahad lalu, Nik Nazmi berkata, ia bukan sekadar kemalangan tragis, tetapi mencerminkan cabaran besar hubungan manusia dan alam, khasnya dalam usaha mengekalkan kelangsungan hidup hidupan liar.
Beliau berkata, kajian pada 2016 mendapati kawasan bagi gajah berkeliaran berkurangan sebanyak 68% akibat perubahan guna tanah untuk pertanian, perladangan serta pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan penempatan.
Berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), sebanyak 4,919 aduan konflik manusia dan gajah dilaporkan dari 2020 hingga 2024 membabitkan kerugian harta dianggarkan berjumlah RM39.4 juta.
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, katanya, lapan ekor gajah direkodkan mati akibat kemalangan jalan raya di Semenanjung Malaysia, dengan tiga daripadanya berlaku tahun ini.