Langgar suami isteri, pemandu Nissan Navara dijel 30 hari

Langgar suami isteri, pemandu Nissan Navara dijel 30 hari

K Darmaraju turut didenda RM12,000.

KES NAVARA VEHICLE
K Darmaraju tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara 30 hari dan denda RM12,000 ke atas seorang lelaki 32 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu.

K Darmaraju didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Majistret Khairunnisak Hassni turut memerintahkan Darmaraju menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri parah selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda sebelum Plaza Tol Jalan Duta di Lebuhraya Utara-Selatan pada 2.30 petang 10 Mei lalu.

Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius, termasuk patah tulang. Pembonceng motosikal itu turut cedera di kepala, patah tulang rusuk dan buku lali.

Peguam tertuduh, S Vinesh, berkata anak guamnya tidak berniat melanggar mangsa, selain kesal dan memohon maaf kepada mereka.

“Dia berjanji tidak akan mengulangi kesilapan ini,” katanya yang memohon hukuman minimum atas alasan anak guamnya berkahwin tahun lalu dan hanya berpendapatan RM2,500 sebagai jurujual.

Beliau berkata, anak guamnya juga perlu menanggung ibu bapa sudah tua, selain bapanya perlu menjalani pembedahan mata tidak lama lagi.

Mahkamah memerintahkan Darmaraju menjalani hukuman penjara 30 hari bermula tarikh tangkapan 11 Mei lalu dan didenda RM12,000.

Dia juga hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.