‘Bukan tolak Anwar’, Saifuddin tepis kenyataan Rafizi

‘Bukan tolak Anwar’, Saifuddin tepis kenyataan Rafizi

Saifuddin Nasution Ismail berpandangan perebutan jawatan timbalan presiden PKR hanya pertarungan antara Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.

Saifuddin Nasution Ismail berkata seruan Rafizi Ramli supaya perwakilan PKR mengundi Nurul Izzah Anwar menunjukkan keunikan dalam parti. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Saifuddin Nasution Ismail menepis kenyataan Rafizi Ramli berhubung penolakan sokongan terhadap Presiden PKR dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim jika Nurul Izzah kalah pertandingan jawatan timbalan presiden.

Ketua setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ia hanya pertarungan antara Rafizi dan Nurul Izzah.

“Saya berbeza (pandangan). Saya tak melihat tertolaknya Izzah, maknanya penolakan kepada…(Anwar). Saya tak lihat begitu.

“Ini adalah pertarungan antara Rafizi dengan Izzah. Wujud PKR ini adalah disebabkan berlakunya insiden terhadap tubuh badan dia (Anwar) pada September 1998,” katanya pada sidang media selepas himpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri.

Semalam, Rafizi menyeru perwakilan PKR mengundi pencabarnya itu sebagai timbalan presiden.

Rafizi berkata, ini kerana Anwar akan mendapat gambaran buruk jika anak perempuannya kalah dalam perebutan jawatan nombor dua parti.

Rafizi dan Nurul Izzah akan bertembung satu lawan satu bagi jawatan timbalan presiden.

Pada pemilihan 2022 Rafizi menang jawatan itu, manakala Nurul Izzah tidak bertanding dan dilantik sebagai naib presiden PKR.

Sementara itu, Saifuddin yang juga ahli biro politik PKR berkata seruan Rafizi supaya perwakilan mengundi Nurul Izzah menunjukkan keunikan dalam parti.

Beliau berkata, perkara itu tidak pernah berlaku dalam parti politik lain.

“Itu uniknya dalam PKR. Saya lawan kamu, saya ajak perwakilan sokong kamu,” kata bekas setiausaha agung PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.