
Menurut sumber, tiga suspek berkenaan iaitu pengurus perniagaan, ketua jabatan, dan pengurus cawangan disyaki secara bersama memiliki, mengubah, memindah dan menggunakan wang hasil bayaran rasuah yang diterima daripada tiga syarikat sekitar tahun 2024.
Berdasarkan siasatan awal, suspek berjawatan ketua jabatan itu dipercayai meminta dan menerima wang lebih RM170,000 daripada tiga syarikat yang membuat lima permohonan pinjaman, keseluruhannya berjumlah lebih RM21 juta.
“Wang rasuah ini sebagai balasan kerana memproses dan meluluskan pinjaman-pinjaman yang dibuat oleh syarikat berkenaan,” katanya.
Mereka ditahan sekitar jam 4 hingga 5 petang tadi di SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan, menurut sumber.
Sumber memaklumkan SPRM turut membekukan empat akaun perbankan milik individu melibatkan nilai kira-kira RM268,000 dan menyita tiga unit peranti telekomunikasi dan sebuah komputer riba, susulan tangkapan.
Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Norhaizam Muhammad, mengesahkan tangkapan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.
Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman, esok pagi.