232 individu rugi RM80 juta ditipu pelaburan patuh syariah

232 individu rugi RM80 juta ditipu pelaburan patuh syariah

Mereka membuat laporan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mendakwa terpedaya skim pelaburan saham boleh tebus syariah.

Semua pelabur mendakwa syarikat-syarikat terlibat gagal membuat pembayaran dividen seperti dijanjikan sebelum mereka menyertai skim pelaburan tersebut.
KUALA LUMPUR:
Seramai 232 individu mendakwa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM80 juta selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan saham boleh tebus syariah (IRPS).

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim berkata pihaknya menerima aduan daripada mangsa mendakwa syarikat-syarikat terlibat gagal membuat pembayaran dividen seperti dijanjikan sebelum mereka menyertai skim pelaburan tersebut.

Beliau berkata semua mangsa tertarik menyertai skim pelaburan ditawarkan syarikat-syarikat berkenaan kerana dijanjikan dividen yang tinggi.

“Ini ditambahkan lagi dengan kehadiran individu-individu terkemuka dan berpengaruh yang memegang jawatan di dalam syarikat tersebut, menyebabkan ramai lagi individu awam lain menyertai skim pelaburan saham IRPS,” katanya kepada pemberita di pekarangan pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Beliau berkata mangsa telah membuat aduan kepada SC hari ini selain berharap siasatan menyeluruh dijalankan.

Sementara itu, pesara syarikat penerbangan Lutfi Daud, 60, mendakwa kerugian RM250,000 apabila pulangan skim pelaburan dijanjikan tidak diterima, sekali gus menjejaskan simpanan hasil skim pemisahan sukarela (VSS) yang sepatutnya digunakan untuk hari tuanya.

Lutfi berkata dia menyertai skim pelaburan itu pada 2022 dan menambah lagi nilai pelaburan pada 2024 selepas melihat prestasi awal yang meyakinkan.

“Mula-mula saya lihat pelaburan ini memberikan pulangan stabil, jadi saya pun tarik isteri sekali masuk pada 2024, tetapi bila ada masalah pulangan hasil, saya mula risau kerana semua wang VSS saya dilabur dalam skim ini,” katanya.

Menurut Lutfi, kerugian itu turut memberi kesan emosi dan sosial kepada dirinya apabila dipandang serong sesetengah ahli keluarga dan kenalan.

“Bila kita rugi besar macam ni, ada orang yang mula bercakap macam-macam, pandang rendah sampai ke tahap kata kita tak cerdik sangat. Ia memang beri kesan, lebih-lebih lagi kepada pesara macam saya yang masih ada anak belajar,” katanya.

Seorang pengusaha tadika, Abdullah Faizi, 30, pula mendakwa kerugian RM400,000 selepas menyertai skim sama sekali gus memberi kesan besar terhadap perniagaan serta perancangan perkahwinannya.

“Awal pelaburan memang terima bayaran, tetapi bila masuk pembayaran kedua, mula tertangguh, akhirnya syarikat beri alasan masalah kewangan,” katanya.

Abdullah berkata dia tertarik melabur skim IRPS kerana portfolio pelaburan kelihatan profesional dan melibatkan individu dikenali serta dipercayai dapat menghasilkan pulangan sebanyak 18% setiap tiga bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.