2 pelajar China didakwa rancang penculikan sendiri

2 pelajar China didakwa rancang penculikan sendiri

Pelajar terbabit didakwa cuba menipu ibu seorang daripada mereka dengan tuntut wang tebusan RM2.9 juta.

kl high court
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azrul Darus membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin dan mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.
KUALA LUMPUR:
Dua pelajar warga China dari sebuah universiti di Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan cuba menipu ibu salah seorang daripada mereka dengan membuat penculikan palsu.

Zhang Runbao, 23, dan Ye Yingxi, 18, didakwa bersama di bawah Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cuba menipu ibu Ye sebanyak 5 juta yuan (anggaran RM2.9 juta) pada 2 Mei lalu di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Mereka didakwa menghantar video dan membuat panggilan kepada ibu Ye yang memaparkan Ye seperti diculik – berada dalam keadaan separuh bogel, mulut ditutup dan seolah-olah dicekik – bagi tujuan menuntut wang tebusan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara antara satu hingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Mereka juga berdepan tuduhan alternatif bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Azrul Darus membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin serta memerintahkan supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan kes ditetapkan pada 27 Mei.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Radzuan manakala Zhang dan Ye diwakili peguam Ernie Sulastri Ahmad dan Ramesh Sivakumar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.