Senator Sarawak selar Dr M berhubung hak minyak

Senator Sarawak selar Dr M berhubung hak minyak

Robert Lau berkata, surat ketua menteri ketika itu serah hak Sarawak pada 1976 tidak dibentangkan kepada Parlimen.

Robert Lau daripada SUPP bidas kenyataan Dr Mahathir Mohamad mengenai tuntutan Sarawak ke atas autonomi minyak dan gas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang senator membidas Dr Mahathir Mohamad yang berkata bahawa usaha Sarawak mendapatkan autonomi dan kawalan lebih besar ke atas sumber minyak dan gasnya mesti melalui Parlimen, bukannya rundingan tertutup.

Robert Lau daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mempersoalkan sama ada Mahathir berpendirian sama apabila negeri itu menyerahkan hak minyak dan gasnya pada 1976.

“Adakah prinsip ini terpakai apabila ketua menteri Sarawak ketika itu Abdul Rahman Yakub ditekan untuk menandatangani surat satu muka pada Jun 1976, berkesan menyerahkan hak minyak dan gas negeri kepada Petronas?” soal Lau, lapor The Borneo Post.

Beliau berkata, menteri kewangan ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah, ditugaskan mendapatkan tandatangan daripada pemimpin Sarawak dan Sabah, menawarkan hanya royalti 5% sebagai balasan.

“Surat ini tidak pernah dibentangkan di Parlimen, dan juga tidak dibentangkan kepada DUN Sarawak, atau diluluskan oleh Jemaah Menteri Sarawak,” katanya.

Beliau bertanya sama ada Mahathir akan bersetuju bahawa surat itu tidak sah kerana ia tidak melalui Parlimen.

Lau juga menyangkal hujah bekas perdana menteri itu bahawa Sarawak mendapat keuntungan yang besar menjadi sebahagian daripada Malaysia, bahawa ia pernah menjadi negeri yang ‘sangat miskin’ selepas ‘British mengambil semua wangnya’.

Katanya, pentadbiran kolonial British mengekstrak kekayaan dari Tanah Melayu, kerana Sarawak masih belum menjadi tanah jajahan British sehingga 1946. Sumber minyak dan gas negeri itu masih belum dibangunkan secara bermakna pada ketika itu.

“Ratusan bilion (ringgit) yang diambil, dan masih dibawa keluar, dari Sarawak tidak memberi manfaat kepada British, (sebaliknya) banyak memberi manfaat kepada Tanah Melayu,” tambah Lau.

Mahathir berkata dalam temu bual dengan FMT sebelum ini, dasar persekutuan mesti diutamakan berbanding tuntutan khusus negeri.

Beliau juga berkata, Petronas tidak boleh terjejas oleh tekanan politik, menyatakan kepercayaannya bahawa terdapat penyelesaian lain yang juga boleh memberi manfaat kepada Sarawak.

Kerajaan Sarawak mendesak mendapatkan lebih kawalan ke atas rizab minyak dan gasnya, bersandarkan undang-undang pra-kemerdekaan mengatasi Akta Kemajuan Petroleum 1974, yang memberi Petronas hak eksklusif mengeksploitasi rizab minyak dan gas.

Ketegangan semakin memuncak antara Petronas dan Petros milik Sarawak dalam suatu pertikaian berhubung pelesenan, selepas Sarawak menuduh anak syarikat Petronas, Petronas Carigali, mengendalikan terminal minyak mentah Miri tanpa lesen daripada negeri.

Pada Jumaat, Pejabat Perdana Menteri berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg bersetuju memuktamadkan prinsip asas untuk menyokong rundingan antara Petronas dan Petros.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.