Pemimpin Gerakan seru ungkapan Muhyiddin dibuktikan di negeri PN

Pemimpin Gerakan seru ungkapan Muhyiddin dibuktikan di negeri PN

Oh Tong Keong berkata pemerintahan PN mesti sokong dan buktikan kenyataan Muhyiddin Yassin yang 'beliau prihatin dengan semua rakyat Malaysia'.

pn leader Perikatan Nasional Selangor
Tindakan susulan daripada kenyataan Muhyiddin Yassin perlu untuk tarik sokongan orang bukan Melayu kepada PN, menurut Oh Tong Keong.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Gerakan berpendapat negeri Perikatan Nasional (PN) perlu melaksanakan dasar mesra bukan Melayu bagi menyokong kenyataan Muhyiddin Yassin ‘beliau seorang Melayu prihatin dengan semua rakyat Malaysia’.

Timbalan Presiden Oh Tong Keong, berkata beliau menyambut baik kenyataan pengerusi PN itu yang menunjukkan gabungan terbabit prihatin dan serius membela nasib semua kaum.

Oh Tong Keong.

Namun, Oh berharap jaminan Muhyiddin tanpa disusuli tindakan mungkin tidak mampu menyakinan bukan Melayu PN memperjuangkan hak semua kaum.

“Paling penting tindakan susulan dan dasar PN dapat ditunjukkan kepada rakyat khasnya corak pemerintahan negeri-negeri PN mesti adil dan saksama kepada bukan Melayu.

“Terutamanya tidak ganggu dan halang cara hidup sedia ada mereka,” katanya kepada FMT mengulas kenyataan Muhyiddin pada 7 Mei lalu.

Bekas perdana menteri itu mengakui pernah kata ‘saya Melayu terlebih dahulu’ pada 2010, tetapi mendakwa bahawa ‘itu tak penting lagi’.

Presiden Bersatu berkata, beliau tak pernah berfikir dirinya sebagai ‘Melayu sahaja’, menegaskan bahawa beliau ‘seorang Melayu prihatin dengan semua rakyat Malaysia’.

PN kini mentadbir di Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Perlis, semuanya diketuai PAS yang memegang jawatan menteri besar.

Oh juga mendakwa persepsi negatif terhadap PN di kalangan orang bukan Melayu disebabkan dakyah dan naratif ditanam parti lawan.

“Parti lawan meracuni fikiran bukan Melayu melalui hasutan selama ini sehingga bukan Melayu risau dan khuatir cara hidup mereka terjejas jika sokong PN.

“Oleh itu, PN perlu menterjemahkan segala jaminan, tindakan dan amalan khasnya di negeri pemerintahan PN untuk buktikan kepada bukan Melayu,” katanya.

Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan, berkata pendirian Muhyiddin itu jelas membuktikan PN tidak mengamalkan perkauman seperti sering didakwa lawan.

“Hari ini ia menjadi kenyataan, pemimpin PN mahukan perpaduan nasional didahulukan supaya pencapaian negara serta limpahan ekonomi dirasai semua kaum tanpa ada yang merasakan terpinggir,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.