Lelaki pecah pintu kaca MPTI disenarai hitam sewa premis

Lelaki pecah pintu kaca MPTI disenarai hitam sewa premis

Tukang jam itu kini menyewa premis di Jalan Bandar, namun sudah dua bulan tidak bayar sewa.

cermin mpti pecah
Seorang warga emas ditahan Khamis lepas kerana memecahkan pintu kaca utama bangunan MPTI menggunakan tukul besi.
PETALING JAYA:
Seorang tukang baiki jam yang bertindak agresif memecahkan pintu kaca utama bangunan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) minggu lepas telah disenarai hitam daripada terus menyewa premis di Jalan Bandar.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A Sivanesan berkata, MPTI akan mengeluarkan notis pengosongan premis dalam tempoh sebulan kepada lelaki berusia 63 tahun itu.

“Tindakan beliau (mengamuk dan merosakkan harta benda awam di bangunan MPTI) tidak boleh diterima dan kita (kerajaan negeri) tidak boleh bertolak ansur dengan perkara terbabit.

“Beliau akan disenarai hitam oleh MPTI dan tidak akan dapat mana-mana gerai atau kedai pun pada masa akan dating,” katanya menambah, tindakan itu juga sebagai pengajaran kepada penyewa lain.

Lelaki itu juga sudah dua bulan tidak membayar sewa bulanan RM150, kata Sivanesan ketika ditemui pemberita semasa meninjau perayaan Chithirai Pournami di Kuil Sri Subramaniam hari ini, lapor Bernama.

Khamis lepas, seorang warga emas ditahan selepas memecahkan pintu kaca utama bangunan MPTI menggunakan tukul besi, dipercayai kerana tidak puas hati khemah sempena perayaan dipasang di depan kedainya.

Lelaki itu mendakwa dia telah mengadu kepada MPTI dan polis beberapa kali sebelum ini, namun tiada tindakan diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.