
Laporan dibuat di Balai Polis Satok oleh lapan Setiausaha Politik Premier Sarawak, diketuai Abdul Samad Gany.
Abdul Samad berkata, hantaran individu terbabit mengandungi kenyataan menghina Abang Johari selain turut menyentuh ahli keluarganya.
Katanya, hantaran terbabit berpotensi menimbulkan kebencian, penghinaan dan menjatuhkan maruah pemimpin negeri.
“Kami membuat laporan polis dengan harapan agar pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu itu mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana peruntukan perundangan berkaitan.
“Diharapkan tindakan sewajarnya dapat diambil kerana kandungan itu tidak sepatutnya berada di media sosial,” katanya, menurut Harian Metro.
Tambahnya, laporan sama akan dibuat di beberapa bahagian lain di seluruh Sarawak termasuk di Sibu, Miri dan Bintulu, hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih beretika dan berhati-hati apabila membuat sebarang hantaran membabitkan isu semasa terutamanya yang menyentuh pemimpin negeri.
“Jika ingin mengupas sesuatu isu, lakukanlah dengan berpandukan kepada fakta dan asas yang kukuh tetapi elakkan penggunaan kata-kata kesat, jijik dan berunsur penghinaan.
“Terdapat penggunaan perkataan amat keterlaluan yang turut menyentuh keluarga serta keturunan pemimpin negeri,” katanya.