Biar mahkamah tentukan skop O&G di bawah MA63, kata Abang Jo

Biar mahkamah tentukan skop O&G di bawah MA63, kata Abang Jo

Premier Sarawak menolak kenyataan Azalina Othman Said yang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak mengandungi peruntukan berkaitan pemilikan atau kawal selia sumber minyak dan gas.

Federal Court
Awal bulan ini, Petronas memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai rangka kerja kawal selia yang terpakai terhadap operasinya di Sarawak.
PETALING JAYA:
Skop Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berhubung isu minyak dan gas wajar ditentukan oleh mahkamah, kata Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Abang Johari menolak kenyataan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said bahawa MA63 tidak mengandungi sebarang peruntukan berkaitan pemilikan atau pengawalseliaan sumber minyak dan gas, lapor Dayak Daily.

“Biar mahkamah membuat keputusan,” katanya ringkas.

Semalam, Azalina berkata MA63 adalah dokumen asas yang menetapkan terma pembentukan Malaysia, termasuk hak dan autonomi Sabah dan Sarawak dalam beberapa bidang tertentu.

Namun, katanya, pengurusan dan kawal selia industri minyak dan gas ditentukan sepenuhnya melalui undang-undang persekutuan, khususnya Akta Pembangunan Petroleum.

Sebaliknya, kerajaan Sarawak berulang kali menegaskan akta itu tidak boleh mengatasi Ordinan Perlombongan Minyak 1958 milik negeri itu.

Awal bulan ini, Petronas memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kepastian mengenai rangka kerja kawal selia yang terpakai terhadap operasinya di Sarawak, bagi memastikan aktiviti syarikat itu mematuhi undang-undang dan amalan tadbir urus yang berkuat kuasa.

Syarikat minyak nasional itu menjelaskan bahawa tindakan itu bukan bertujuan mencabar aspirasi pembangunan Sarawak atau menghalang peranan Petroleum Sarawak (Petros).

Sebaliknya untuk mendapatkan keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan mengenai kedudukan undang-undang yang terpakai kepada sektor petroleum di negeri berkenaan.

Walaupun beberapa siri dialog dan rundingan telah diadakan dengan Petros sejak 2024, Petronas berkata masih wujud perbezaan pandangan yang menimbulkan ketidakpastian terhadap tanggungjawabnya di Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.