
Wilfred Yap berkata, dakwaan kononnya landskap politik negeri tidak demokratik seperti diwar-warkan disebabkan kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan ‘gambaran salah terhadap kehendak rakyat’, memetik Borneo Post.
Yap turut berkata, hujah dibangkitkan cacat, sambil menegaskan demokrasi tidak diukur semata-mata berdasarkan jumlah kerusi pembangkang, malah melalui kecekapan, kebertanggungjawaban, dan ketelusan pemimpin GPS.
Minggu lalu, Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen kesan dengan tindakan GPS ‘menyerap hampir semua kerusi melalui tindakan lompat parti dan pengambilan politik’, menjadikan pembangkang hanya tinggal dua kerusi sahaja – Pending dan Padungan.
Chong berkata, situasi sedemikian sangat merencatkan perkembangan demokratik dan tidak menawarkan perlindungan ke atas hak rakyat biasa.
“Ini fenomena cukup tidak sihat bagi mana-mana negara menjunjung sistem demokrasi,” beliau dilaporkan berkata dalam satu ucapan.
Chong juga berkata, negara seperti Singapura masih memerlukan parti pembangkang di Parlimen bagi memantau pentadbiran, walaupun pentadbiran negara itu terkenal dengan integriti dan kecekapan.
Yap berkata, perbandingan senario politik Singapura tidak relevan memandangkan sistem politik yang secara asasnya berbeza.
“Sebanyak 10 kerusi dimenangi pembangkang Singapura wujud dalam persekitaran politik sangat terkawal, di mana suara mereka sering disekat oleh halangan undang-undang dan sistemik.
“Sebaliknya, demokrasi Sarawak berjalan organik dan dominasi GPS mencerminkan keyakinan orang ramai, bukannya penindasan,” katanya menurut laporan.
Yap, yang juga Adun Kota Sentosa, berkata mencadangkan GPS beroperasi tanpa pemantauan juga adalah palsu.
Katanya, negara mempunyai institusi persekutuan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala akauntabiliti dipastikan melalui disiplin dalaman parti.
Katanya, hakikat bahawa DAP Sarawak tinggal sekadar dua kerusi dalam DUN membuktikan rakyat Sarawak menolak corak politiknya.
“Orang Sarawak mahukan pembangunan, kesatuan, dan kemajuan – bukan sandiwara politik DAP.”