
Beliau yang menang jawatan itu selepas menewaskan Saifuddin Nasution Ismail pada 2022 berkata, keputusan itu bukan dibuat atas kepentingan peribadi, demi jawatan semata-mata.
Sebaliknya, beliau bimbang persepsi ‘pak turut’ atau ‘tukang ampu’ boleh menjejaskan imej PKR di mata rakyat.
“Kita hormat proses parti dan kesatuan tetapi kita tidak pernah telan bulan-bulat apa yang disumbat kepada kita … kalau tak setuju, cakap tak setuju,” kata menteri ekonomi itu pada program Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri malam tadi.
“Kalau saya tak bertanding timbalan presiden – bukanlah saya minat sangat nak jadi menteri atau timbalan presiden – saya bimbang pandangan umum bahawa PKR ini banyak ‘pak turut’ dan ‘tukang ampu’.”
Pada pemilihan pada 23 Mei ini, Rafizi akan dicabar bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah bagi jawatan nombor dua PKR.
Dalam pada itu, Rafizi turut mempersoalkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) diketuai Dr Zaliha Mustafa, dan Setiausaha Agung Fuziah Salleh, susulan pemilihan cabang sebelum ini yang tidak berjalan lancar sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati.
Beliau mendakwa Zaliha tidak menjawab setiap bantahan manakala Fuziah pula gagal mengesan ahli parti lain yang bertanding pada pemilihan itu.
“Sesiapa jadi pengerusi JPP selepas ini, ingatlah, tanggungjawab itu sangat berat kerana jadi benteng pertama.
“Kalau orang bantah (sesuatu), maksudnya mereka sayang dan nak lindungi parti,” katanya.