PM tegur pemimpin Borneo ‘pemecah belah’, berseteru Semenanjung lepas hilang kuasa

PM tegur pemimpin Borneo ‘pemecah belah’, berseteru Semenanjung lepas hilang kuasa

Anwar Ibrahim berkata mereka tidak buat apa sepatutnya ketika diberi amanah, malah cuba pecah belah rakyat selepas hilang kuasa.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim lontar cabaran kepada rakan pimpinan yang sedang berkuasa di pusat dan negeri laksana yang terbaik ketika sedang berkuasa. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur sikap pemimpin dari Malaysia Timur memilih berseteru dengan Semenanjung dan persekutuan, selepas gagal menjalankan amanah ketika berkuasa.

Tanpa merujuk pemimpin berkenaan, beliau berkata semasa mereka diberi kuasa dan amanah oleh rakyat menjaga negara, Parlimen, dan kerajaan, mereka tidak melakukan apa yang sepatutnya, sebaliknya apabila hilang kuasa mereka cuba memecah belahkan rakyat.

“Semenanjung tidak akan maju, Sarawak tidak akan maju, Sabah tidak akan maju kalau kita tidak bersatu, muafakat angkat negeri ini bersama-sama. Kita kena faham ini betul-betul.

“Lihat negara-negara (luar), hari-hari berita perpecahan antara kaum, antara wilayah, antara agama kerana apa? Kerana pemimpin kerjanya menghasut, bila ada kuasa tidak fikir perkara rakyat,” katanya menurut Bernama ketika berucap pada majlis penutup Program Madani Rakyat Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.

Anwar turut menegaskan supaya semua rakan-rakan pimpinan serta memegang kuasa kini di peringkat persekutuan dan negeri melaksanakan yang terbaik membela nasib rakyat dan menyelesaikan permasalahan serta tidak mengikut jejak pemimpin yang hanya pandai mencerca apabila hilang kuasa.

“Bila hilang kuasa (keluar isu) jaga Melayu, Islam terancam, negeri tidak dijaga, kamu ada kuasa dulu, buat masa ada kuasa. Saya cabar rakan-rakan yang ada, buatlah sebaiknya untuk rakyat masa kita ada kuasa,” katanya.

Perdana menteri berkata, rakyat terutama di Sabah, terkesan dengan banyak permasalahan antaranya bekalan air, elektrik, kesihatan, jalan raya serta kemudahan pendidikan untuk anak-anak yang amat penting untuk masa depan mereka.

Oleh sebab itu beliau berkata kemudahan sekolah, klinik dan projek penting seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah, perlu disiapkan dengan tuntas untuk rakyat dan tidak dibiarkan untuk lewat disiapkan begitu sahaja.

“Dalam kerajaan Madani, ini kita lakukan, ada orang kata belum cukup dan saya setuju belum cukup. Kadang-kadang masalah kita tanggung diwarisi sekian lama, nak selesaikan dalam masa singkat tidak boleh.

“Berapa lama sangkut Lebuhraya Pan Borneo (Sabah) ini, di Sarawak hampir siap, Sabah tergendala teruk, nasib baik kita ada Ketua Menteri Hajiji kata jalan terus, jangan peduli masalah lain,” katanya.

Anwar berkata, beliau datang ke Sabah demi berkhidmat untuk rakyat negeri itu sebagai seorang perdana menteri dan berharap semua rakan pimpinan faham akan tanggungjawab masing-masing untuk membela nasib rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.