
Berucap pada sambutan ulang tahun Umno ke-79 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Zahid berkata, ada pihak yang menghasut rakyat dengan naratif Umno kini tunduk kepada DAP, sedangkan mereka sendiri pernah bergandingan dengan DAP dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat hampir sedekad lamanya.
“Mereka jugalah yang membentuk kerajaan bersama DAP demi menjatuhkan kita pada PRU 2018, malah sanggup melanggar prinsip dengan menggunakan logo PKR.
“Umno tidak pernah membenarkan ahlinya bersolat di hadapan pejabat DAP, tidak pernah menobatkan mana-mana pemimpin DAP setinggi Khalifah Umar Abdul Aziz.
“Lebih ironi, ketika Umno bekerjasama dengan MCA dan MIC, kita juga pernah dikafirkan. Hari ini, mereka meniru model yang sama, inilah hipokrasi politik,” katanya, dipercayai merujuk PAS.
Sehubungan itu, Zahid menyeru ahli parti tidak mudah terpedaya permainan sentimen dan menegaskan semua keputusan besar dalam Umno dibuat secara kolektif melalui perbincangan.
“Ia lahir daripada musyawarah kolektif, daripada jiwa kepimpinan yang memikirkan untung nasib parti ini. Selagi hayat dikandung badan, keutamaan parti tidak akan kami robekkan, maruah perjuangan tidak akan kami khianati selagi kepercayaan kalian semua berikan.”
Tegasnya, kerjasama Umno bersama parti lain, termasuk DAP, bawah panji kerajaan perpaduan, bukanlah ‘persekongkolan eksklusif’, sebaliknya keputusan kenegaraan.
“Kerajaan perpaduan hari ini dibentuk oleh 18 parti politik meliputi Barisan Nasional, Pakatan Harapan, GPS (Gabungan Parti Sarawak), GRS (Gabungan Rakyat Sabah), Warisan dan lain-lain. Ia kerjasama lintas sempadan demi menjamin kestabilan.
“Tetapi…pesan saya buat kawan atau lawan, jangan meragui kepercayaan dan jagalah batas sempadan. Api kecil yang dijaga rapi, jika dikhianati, akan menjulang menjadi bara; bila ia marak, panasnya tak tertahan, nyalanya tak terelak – bimbang ia membakar semua, tanpa memilih rupa dan badan.”
Sementara itu, Zahid berkata, Umno perlu bangkit sebagai parti masa depan dengan mengamalkan tiga wasilah politik berasaskan solusi, legasi dan moderasi.
“Wasilah pertama ialah politik solusi. Rakyat hari ini mahu mendengar resolusi yang praktikal, mahu melihat Umno berbicara tentang isu sebenar hidup mereka.
“Kejayaan kita dalam PRK membuktikan satu perkara penting: Rakyat kini lebih selesa mendengar solusi menyentuh kehidupan mereka daripada terus dihujani retorik politik semakin memualkan di telinga mereka.”
Katanya, Umno tidak boleh diwariskan hanya atas nama, tetapi sebagai nilai dan kepimpinan, dengan melahirkan pewaris berkualiti – generasi muda, wanita, profesional – yang berani, berwibawa dan berfikir kritikal.
Beliau berkata, dunia hari ini dipenuhi politik ekstrem dan retorik pemecah belah, tetapi Umno tidak boleh terjebak dalam perlumbaan siapa lebih radikal, sebaliknya perlu kekal sebagai parti pertengahan yang matang, waras serta menyatukan.
“Inilah politik pertimbangan, kestabilan dan harapan yang mesti kita semat dalam kita memimpin negara bangsa.”