Pencalonan Nurul Izzah peluang lakar haluan sendiri

Pencalonan Nurul Izzah peluang lakar haluan sendiri

Rebut jawatan timbalan presiden, 'Puteri Reformasi' mampu cetus kebangkitannya sebagai pemimpin atas merit sendiri, kata penganalisis.

nurul izzah anwar
Nurul Izzah, anak Presiden PKR Anwar Ibrahim, akan bertembung dengan Rafizi Ramli dalam persaingan satu lawan satu bagi jawatan timbalan presiden parti pada pemilihan 23 Mei ini.
PETALING JAYA:
Percubaan Nurul Izzah Anwar merebut jawatan timbalan presiden PKR mungkin mengheretnya ke tengah kemelut parti, tetapi menurut seorang penganalisis politik, persoalan lebih besar adalah sama ada beliau mampu menentukan hala tuju sendiri atau akan terus terikat dengan legasi bapanya.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menyifatkan Nurul Izzah sebagai bidak dalam persaingan antara bapanya, Presiden PKR Anwar Ibrahim dengan timbalannya Rafizi Ramli, yang bukan lagi rahsia.

Namun Nurul Izzah, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, masih boleh membalikkan naratif itu dan memanfaatkannya untuk keuntungan sendiri.

“Mereka yang tidak suka Rafizi – ada ramai – lebih senang dengan ‘Puteri Reformasi’ Nurul Izzah,” kata Syaza kepada FMT.

“Tetapi mampukah beliau benar-benar jadi dirinya sendiri, sedangkan banyak ‘tangan’ nampaknya terlibat? Mampukah beliau benar-benar pisahkan dirinya daripada (imej) bapanya dan penyokong setianya?”

Syaza berkata, walaupun Nurul Izzah mungkin ada visinya sendiri untuk PKR, situasi sedia ada meletakkan beliau sebagai kompromi antara pihak yang mahukan bakat baharu dan mereka yang menyokong legasi bapanya diteruskan.

“Beliau semestinya boleh guna peluang ini untuk perlahan-lahan mengukuhkan kedudukan dirinya sebagai pemimpin yang diiktiraf atas merit sendiri. Namun pada hujung hari, beliau di pihak Anwar,” kata Syaza.

Restu Anwar

Suasana semakin hangat dengan persaingan satu lawan satu antara Nurul Izzah dengan Rafizi bagi jawatan kedua tertinggi dalam PKR.

Kejadian-kejadian tidak diingini ketika pemilihan cabang baru-baru ini – daripada masalah teknikal sehinggalah dakwaan salah urus undi – menyemarakkan spekulasi bahawa puak-puak dalam parti tidak berpuas hati dengan kepimpinan Rafizi dan menggesa Nurul Izzah masuk gelanggang.

Rafizi sebelum ini berkata, beliau sedia berundur daripada jawatan dalam parti dan Jemaah Menteri untuk memberi tumpuan kepada kempen pada peringkat akar umbi, jika gagal dalam pemilihan parti.

Penganalisis daripada Akademi Nusantara Azmi Hassan berkata, tidak syak lagi, pertandingan itu ‘pertempuran antara dua puak’, bukan sahaja dari segi personaliti dan ideologi, malah kesetiaan.

“Rafizi kadangkala cetuskan kemarahan presiden. Nurul Izzah anak presiden, dan yang menggesa pencalonannya ialah setiausaha politik (Anwar), Shamsul Iskandar Md Akin,” katanya merujuk kepada pengisytiharan sokongan terbuka yang dibuat Shamsul bagi pihak cabang PKR Melaka.

“Itu beritahu kita Anwar dah beri restu,” kata Azmi.

Siapa yang akan disokong akar umbi?

Azmi berkata, baik Rafizi mahupun Nurul Izzah tidak benar-benar mewakili ideal reformis dalam PKR – Izzah disebabkan hubungan keluarganya, manakala Rafizi gagal menangkap denyut nadi akar umbi dan suara rakyat.

Syaza berkata, persepsi nepotisme mungkin lebih membebankan Nurul Izzah, kerana ia membayangkan anak seorang ahli pengasas parti itu semakin menjauh daripada prinsip parti.

Namun, selain personaliti, kedua-dua penganalisis berkata. apa yang sebenarnya menjadi taruhan ialah kredibiliti PKR sebagai parti reformis.

“(Keadaan ini) akan kelihatan seperti dinasti politik, lebih kurang saja dengan jiran kita,” kata Syaza, merujuk kepada cengkaman anak beranak Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang terhadap DAP.

Azmi berkata, persepsi awam penting, dan kedudukan Nurul Izzah yang dilihat semakin kukuh bawah pengaruh bapanya ‘bukan petanda baik bagi PKR, kerana akar umbi akan lihat ini sebagai nepotisme’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.