
Menurutnya, keputusan pembubaran DUN Sabah terletak sepenuhnya di tangan Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri, Hajiji Noor.
Beliau berkata, perbincangan mereka menyentuh pelbagai sektor, termasuk minyak, selain mengambil kira input pemimpin negeri bagi menangani kebimbangan utama dan mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan.
“Perbincangan tertumpu kepada isu-isu berkaitan pembangunan Sabah dan usaha mengukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya menurut Bernama di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu.
Ini kunjungan hormat pertama Anwar ke atas Musa sejak dilantik Yang Dipertua Negeri Januari lalu.
Spekulasi pembubaran awal DUN Sabah timbul susulan pertemuan kira-kira setengah jam Anwar dan Musa hari ini.
Selesai acara di Istana Seri Kinabalu, Anwar meneruskan lawatan kerja ke Tawau bagi merasmikan Majlis Penutup Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
Pada majlis itu, Anwar dijadual menyempurnakan penyerahan Projek Siap Tamu Desa Sabah, penyampaian Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah dan pelancaran Program Solar Madani.
Anwar dan Hajiji yang turut hadir ke program itu akan meluangkan masa meninjau perkhidmatan disediakan di reruai jabatan serta agensi kerajaan menyertai program tiga hari sejak Jumaat lalu.
Beliau dijadualkan berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang ini.