Malaysia mohon jaminan Thailand selepas kematian manusia akibat antraks

Malaysia mohon jaminan Thailand selepas kematian manusia akibat antraks

Jabatan Perkhidmatan Veterinar berkata ia memandang serius penularan antraks, walaupun Malaysia bebas penyakit itu sejak 1976.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar meminta penternak melaporkan segera sebarang tanda klinikal penyakit pada haiwan ternakan dan meningkatkan tahap biosekuriti ladang, khasnya menjelang hari raya korban akan datang.
PETALING JAYA:
Malaysia memohon jaminan daripada Thailand tiada haiwan dan produk haiwan disyaki dari kawasan berisiko tinggi antraks dieksport ke negara ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berkata, Malaysia bebas penyakit antraks sejak kes terakhir dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia pada 1976.

Tetapi, katanya, ia memandang serius wabak itu susulan satu kematian manusia 1 Mei lalu seperti dilaporkan Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, yang dikaitkan dengan penyembelihan lembu dan pengambilan daging mentah di daerah Don Tan, wilayah Mukdahan, timur laut Thailand.

“Thailand turut dimohon memberikan status semasa, langkah diambil untuk mengawal pergerakan haiwan dan produk haiwan di negara itu serta pelan kontigensi mengenai penyakit antraks.

“Ini berikutan Malaysia mengimport ternakan hidup, iaitu lembu dan kerbau dari Thailand, dan semua ternakan memasuki negara ini perlu melalui proses pemeriksaan veterinar ketat sebelum dibenarkan masuk,” katanya dalam kenyataan menurut Bernama.

Penyakit antraks disebabkan bakteria Bacillus anthracis dan merupakan penyakit zoonotik, iaitu penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia dan membawa maut.

DVS berkata, penyakit itu boleh menjangkiti ternakan dan manusia melalui kontak langsung dengan spora dihasilkan bakteria Bacillus anthracis.

“Antraks boleh menyebabkan kadar kematian tinggi pada haiwan ternakan dan antara tanda klinikal penyakit ini pada ternakan ialah kematian mengejut serta demam tinggi.”

DVS meminta penternak melaporkan segera kepadanya jika mengesan sebarang tanda itu dan menyeru penternak meningkatkan tahap biosekuriti ladang, khasnya menjelang hari raya korban akan datang.

“Penternak perlu berhati-hati dengan sebarang kemasukan ternakan tidak mempunyai permit pemindahan sah, terutamanya ternakan dibawa masuk dari negara jiran.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.