
Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir berkata, parti itu menyambut baik kesediaan BN dan PH menjalinkan kerjasama rasmi, yang menurutnya, membuktikan ‘kematangan politik nasional dan kesungguhan untuk mewujudkan kestabilan demi rakyat Sabah’.

“Umno Sabah menyokong penuh kenyataan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin yang menegaskan kerjasama BN-PH ini bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi bagi membina masa depan Sabah yang lebih terurus dan terjamin.
“Kami akan memastikan seluruh jentera akan digerakkan dengan sepenuh komitmen dan disiplin sebagai satu pasukan perpaduan yang matang dan bersedia,” katanya dalam kenyataan.
Jumaat lepas, BN dan PH mengesahkan kerjasama pada PRN17 susulan mesyuarat antara Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Zahid Hamidi.
Menurut Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Asyraf Wajdi Dusuki, soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana-mana parti lain akan diperincikan bersama antara kepimpinan gabungan negeri, dengan segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi pusat.
Bekas ketua menteri Salleh Said Keruak kemudian berkata, kesepakatan itu turut membuka ruang rundingan lebih inklusif bersama parti-parti tempatan, bersandarkan keikhlasan, calon yang berwibawa dan dasar yang membela rakyat.
Ketika ini, BN dan PH berada di blok berbeza dalam pentadbiran Sabah, walaupun kedua-duanya bersama membentuk kerajaan perpaduan pada peringkat pusat.
PH menjadi sebahagian pentadbiran negeri diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji Noor, manakala BN di blok pembangkang selepas gagal menjatuhkan pentadbiran Hajiji dalam ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023.
Penggal DUN Sabah akan berakhir pada November ini dan PRN perlu diadakan selewat-lewatnya 60 hari selepas pembubarannya.