
Ini kerana, katanya, rundingan pembahagian kerusi PRN Melaka akan ditentukan pimpinan tertinggi gabungan perpaduan.
“Jangan layan emosi, analisis dan perspektif masing-masing. Soal pembahagian kerusi serahkan kepada pucuk pimpinan.
“Kami di peringkat atasan sering bertemu. Perkara ini tidak dibincangkan, jadi tidak perlu perkara ini dibangkitkan sama ada oleh Umno, khususnya Pemuda ataupun Amanah oleh Pemudanya.
“Saya fikir perkara ini sangat pramatang untuk dipolemikkan,” katanya selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Umno ke-79 di Pusat Dagangan Dunia.
Beliau mengulas isu pembahagian kerusi PRN Melaka yang menimbulkan pertikaian dalam kalangan parti kerajaan perpaduan susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina bertajuk “9 cawangan DAP Melaka” meluluskan strategi 14BN+14PH pada PRN Melaka akan datang.
Susulan itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dilaporkan berkata, Barisan Nasional (BN) Melaka tidak akan sesekali melepaskan sebahagian kerusi dimenanginya pada PRN lalu kepada DAP.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan pecahan BN (21), Pakatan Harapan (5) dan Perikatan Nasional (3).
PRN Melaka perlu diadakan selewat-lewatnya November 2026.
PRN Sabah
Zahid yang juga pengerusi BN berkata, keputusan menjalin kerjasama dengan PH pada PRN Sabah menunjukkan keterbukaan kedua-dua gabungan.
“Bagi PRN Sabah, keputusan untuk BN-PH bergerak sebagai satu pasukan…kita tidak berniat untuk bergerak secara solo.
“Keputusan kita ialah BN-PH bukan sekadar ‘plus’, tetapi ‘plus, plus, plus’. Ini memperlihatkan keterbukaan kita dan pastinya tidak ada parti berasaskan Semenanjung atau Sabah bergerak sendiri.
“Kita mesti gabungkan parti pusat dan negeri kerana yang penting kerajaan yang terbentuk selepas pilihan raya itu adalah kerajaan bersama bagi memastikan pembangunan dirancang di Sabah dapat dilaksanakan.”