Anwar mahu ganding GRS-PH-BN

Anwar mahu ganding GRS-PH-BN

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata sudah berjalan beberapa perbincangan bersama pengerusi GRS agar kesepakatan politik diperluas.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara terbuka berhasrat menyatukan GRS dengan PH-BN pada PRN Sabah demi kestabilan politik nasional dan negeri.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu kerjasama menjelang PRN Sabah turut melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bersama Pakatan Harapan dan Umno-BN.

Anwar yang juga pengerusi PH, berkata usaha meluas ke arah itu sedang berjalan menerusi perbincangan dengan Pengerusi GRS Hajiji Noor, yang juga ketua menteri.

Katanya, keputusan pelaksanaanya ditentukan PKR dan PH Sabah.

“Kita bekerjasama tentunya dengan Umno-BN dan GRS. Sebab itu saya datang juga dan mengadakan beberapa perbincangan dengan Ketua Menteri Hajiji Noor supaya kesepakatan ini lebih meluas dan kita ambil sikap yang lebih terbuka.

“Jadi itu saya nak jelaskan. Mengapa hal itu perlu? Kerana bagi kita, keutamaan ialah kestabilan politik nasional dan negeri,” katanya menurut Sinar Harian pada sidang akhbar seusai pertemuan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, di Tawau.

Sebelum ini, Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan kerjasama antara PH-BN, namun Hajiji berkata GRS sedia bergerak solo pada PRN jika benar kerjasama dua gabungan itu berlaku.

Dalam pada itu, Anwar berkata hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan amat penting untuk menjamin kesinambungan pembangunan.

Anwar berkata, pendekatan kerajaan pimpinannya adalah untuk mendengar keperluan kerajaan negeri dan membuat penyesuaian.

“Saya datang, umpamanya, untuk bertanya kepada kepimpinan negeri tentang keutamaan mereka dan kemudian kita buat beberapa penyesuaian. Itu prinsip kita, bukan soal kepentingan politik semata-mata, tetapi soal menyantuni keperluan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.