PKR berdepan krisis peralihan kepimpinan, kata Tian Chua

PKR berdepan krisis peralihan kepimpinan, kata Tian Chua

Beliau kata pelan peralihan kepimpinan pasca-Anwar perlu libat nama besar seperti Nurul Izzah, Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail.

Spokesperson Tian Chua gaza trump protest
Bekas Ahli Parlimen Batu Tian Chua mengkiritik sokongan secara atas ke bawah sebagai sesuatu yang ‘tidak sihat’ dan berkata, perwakilan yang mewakili akar umbi perlu memilih secara bebas.
PETALING JAYA:
Seorang bekas pemimpin PKR percaya parti itu sedang berdepan krisis peralihan kepimpinan susulan keputusan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar untuk mencabar penyandang, Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata pelan peralihan sebenar sepatutnya melibatkan kerjasama kepimpinan yang lebih meluas, namun mendakwa perkara itu tidak berlaku dalam PKR disebabkan tindakan lompat parti sebelum ini dan jurang generasi yang ketara.

“Jika ada pelan peralihan, Presiden PKR Anwar Ibrahim perlu menghimpunkan Nurul Izzah, Rafizi, Saifuddin Nasution Ismail, Amirudin Shari dan Nik Nazmi Nik Ahmad untuk membina satu pasukan besar, seperti yang pernah kita lihat sebelum ini.

“Bagi saya, ini mungkin tokoh-tokoh penting yang boleh memastikan peralihan yang lebih berjaya. Dalam senario seperti itu, pasukan tersebut akan lebih kukuh dan berpotensi memimpin parti dalam era pasca-Anwar,” katanya kepada FMT.

Bulan lalu, beberapa pemimpin utama parti termasuk Naib Presiden Nik Nazmi dan K Saraswathy, Ketua Pemuda PKR Adam Adli, bekas ketua Pemuda Akmal Nasir serta beberapa Ahli Parlimen dan Adun tewas dalam pemilihan bahagian masing-masing.

Mereka kemudiannya bersetuju untuk ‘move on’ dan tidak mempertikai keputusan pemilihan itu selepas audit mendapati tiada campur tangan pihak luar dalam teknologi blockchain yang digunakan dalam pengundian.

Tian Chua, bekas Ahli Parlimen Batu, mengkritik sebarang bentuk sokongan secara atas ke bawah dalam PKR sebagai sesuatu yang ‘tidak sihat’ dan menegaskan parti itu perlu menghargai undi bebas perwakilan yang mewakili akar umbi.

Beliau turut menganggap cabaran Nurul Izzah terhadap Rafizi boleh memberi kesan terhadap bapanya, Anwar, tidak kira apa jua keputusan pemilihan nanti.

Menurutnya, jika Nurul Izzah tewas, ia akan menunjukkan beliau tidak mendapat sokongan dalam parti, dan ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada Anwar.

Namun, jika beliau menang, kata Tian Chua, parti-parti lain mungkin akan mendakwa Anwar melindunginya dan memberi ‘laluan mudah’ untuk mengambil alih parti.

Tambahnya, perkara itu akan menyukarkan usaha Nurul Izzah untuk membina kekuatan PKR selepas era Anwar, dan jika isu ini tidak ditangani dengan betul, Rafizi dan kumpulannya mungkin keluar parti, sekali gus melemahkan PKR.

Apabila ditanya sama ada terdapat ‘watak tersembunyi’ yang mencalonkan Nurul Izzah bagi mencabar Rafizi susulan reaksi Rafizi selepas keputusan pusingan pertama pemilihan diumumkan, Tian Chua berkata: “Sebagai pemerhati, itu satu teori. Tapi sebagai orang dalam, saya rasa ia sangat berkemungkinan benar.”

Minggu lalu, dilaporkan Rafizi, yang juga menteri ekonomi, mengambil cuti daripada tugas rasmi di tengah-tengah spekulasi mengenai kedudukan politiknya susulan kekalahan beberapa sekutu rapat dalam pemilihan bahagian PKR baru-baru ini.

Sejak itu, ramai pemimpin negeri dan bahagian menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah untuk jawatan nombor dua itu, yang dimenangi Rafizi pada 2022 selepas menewaskan bekas setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution.

Sementara itu, Saifuddin berkata beliau tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti bulan ini kerana ingin memberi tumpuan kepada perjuangan politik lebih besar dalam parti.

Pembantu beliau, Omar Mokhtar Manap berkata, keputusan itu dibuat selepas Saifuddin berbincang dengan beberapa pihak, termasuk kepimpinan tertinggi PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.