Penunggang maut akibat Maserati buat pusingan U haram

Penunggang maut akibat Maserati buat pusingan U haram

Polis berkata penunggang Honda RS meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala dan kaki kiri dalam nahas kira-kira 7 malam Jumaat.

kemalangan link kedua
Keadaan Maserati selepas membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan di KM0.6 Lebuhraya Link Kedua semalam.  (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang penunggang motosikal maut terlanggar besi pengadang tercabut akibat pemandu Maserati membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan di KM0.6 Lebuhraya Link Kedua, Iskandar Puteri, semalam.

Ketua Polis Iskandar Puteri, M Kumarasan, berkata warga tempatan berusia 31 tahun yang menunggang Honda RS meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala dan kaki kiri dalam nahas kira-kira 7 malam Jumaat.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Maserati dipandu lelaki warga Singapura berusia 27 tahun melakukan pusingan U di lokasi tidak dibenarkan untuk menghala ke arah Singapura.

“Tindakan itu menyebabkan kenderaan terbabit melanggar pembahagi jalan tengah sebelum besi pengadang tercabut dan memasuki laluan bertentangan.

“Mangsa dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh besi berkenaan sebelum terjatuh ke bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, kotak simpanan motosikal mangsa turut tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar dua motosikal lain, tetapi kedua-dua penunggang tidak cedera.

Menurutnya, kekecohan tercetus apabila pemandu Maserati itu diserang dan dipukul pengguna jalan raya lain menggunakan topi keledar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.