Insiden paip gas terbakar: 200 penduduk timbang saman berkumpulan

Insiden paip gas terbakar: 200 penduduk timbang saman berkumpulan

Peguam berkata sesi taklimat akan diadakan lagi mengenai maklumat tindakan perundangan.

Selain mengalami kerosakan kediaman dan kenderaan, sebahagian penduduk mengadu pampasan insurans rendah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 200 penduduk terkesan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights sedang menimbang memfailkan saman berkumpulan terhadap pihak bertanggungjawab.

Peguam daripada firma guaman REC Legal Farhan Ghani, berkata sesi taklimat kepada penduduk akan diadakan lagi.

“Sesi taklimat akan diadakan lagi bagi memberikan maklumat mengenai tindakan perundangan kepada penduduk,” katanya menurut Bernama.

Insiden kebakaran saluran paip gas pada 1 April menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30m dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas.

Dalam pada itu, sebahagian penduduk terkesan kebakaran saluran paip gas mendakwa berdepan cabaran dalam usaha menuntut pampasan insurans rumah dan kenderaan selepas lebih sebulan insiden berkenaan.

Setiausaha Persatuan Penduduk Topaz Putra Heights Lau Cheng Chew, berkata penduduk meluahkan rasa kecewa apabila mendapati jumlah tuntutan diluluskan syarikat insurans adalah rendah, meskipun kediaman dan kenderaan mereka terdedah kepada haba tinggi selama hampir lapan jam.

“Penilai syarikat insurans hanya membuat pemerhatian luaran terhadap kerosakan tanpa mengambil kira impak haba terhadap struktur dalaman rumah dan kenderaan. Ini menyebabkan penduduk tidak mampu membaiki kediaman mereka sepenuhnya dan mendapat ganti rugi berkaitan kenderaan secara berpatutan,” katanya selepas sesi dialog awam bersama penduduk, di Subang Jaya.

Sesi yang berlangsung di Taman Putra Harmoni itu dihadiri wakil penduduk daripada 65 kediaman yang terletak di Jalan 1/3E, Jalan 1/3F dan Jalan 1/3G, bagi mendapatkan perkembangan terkini insiden berkenaan.

Dalam pada itu, Lau berkata kira-kira 30 penduduk yang mengalami kecederaan akibat insiden pada 1 April lalu turut berdepan tekanan dan kebimbangan apabila bil rawatan susulan, terutama di hospital swasta semakin meningkat.

“Setakat 20 April, jumlah keseluruhan bil rawatan mencecah RM2.7 juta. Ini menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh mengurangkan had perlindungan insurans mereka, sekali gus menyukarkan rawatan penyakit lain pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, terdapat beberapa penduduk yang masih belum menerima bantuan sewa berjumlah RM2,000 daripada kerajaan sementara pemaju asal Taman Putra Harmoni, Sime Darby Property membaik pulih kediaman mereka.

“Persatuan penduduk sedang memantau perkara ini dan akan membawa aduan berkenaan kepada pihak berkaitan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.