Lelaki ditahan pecah masuk kondo doktor

Lelaki ditahan pecah masuk kondo doktor

Polis berkata pekerja kedai menjual ayam itu turut menawarkan perkhidmatan membersih rumah sebagai kerja sampingan di kondominium terbabit.

Jam tangan, kad akses rumah dan bank antara hasil pecah rumah yang dirampas polis. (Gambar PDRM)
KUALA TERENGGANU:
Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terbabit kes pecah masuk kediaman seorang doktor di sebuah kondominium di sini membabitkan kerugian lebih RM50,000 Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata tangkapan itu menyusul laporan mangsa berusia 43 tahun yang menyedari kejadian itu selepas bangun daripada tidur kira-kira 6.30 pagi.

Beliau berkata, lelaki itu mendapati pelbagai barangan berharga, termasuk seutas jam tangan Omega dan Tag Heuer, kunci Mercedes dan Subaru XV, Ipad serta beg duit diletakkan atas meja hilang.

“Mangsa segera memeriksa aplikasi kereta Mercedes melalui telefon dan mendapati kereta miliknya berada di sebuah pangsapuri di bandar ini.

“Bertindak atas risikan, polis menahan suspek di sebuah rumah pekerja di Kampung Kuala Tengah, Marang kira-kira 3.15 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.

Azli berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 21 barangan lain, termasuk beg berjenama mewah, kad akses rumah, topi keledar, jam tangan, kad bank dan set anak kunci pelbagai jenis.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pekerja kedai menjual ayam itu turut menawarkan perkhidmatan membersih rumah sebagai kerja sampingan di kondominium berkenaan.

“Suspek mengaku terlibat kes tersebut. Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan negatif ujian saringan air kencing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.