‘Keangkuhan’ Persekutuan boleh alih sokongan kepada parti Sabah, kata penganalisis

‘Keangkuhan’ Persekutuan boleh alih sokongan kepada parti Sabah, kata penganalisis

Dilihat sebagai 'orang luar', tindakan pemimpin nasional PH dan BN buat keputusan mungkin tidak disenangi rakyat Sabah.

zahid hamidi n anwar ibrahim
Seorang penganalisis politik berkata keputusan yang dibuat oleh pemimpin nasional PH dan BN mungkin memberi kesan kepada sokongan pengundi di Sabah.
PETALING JAYA:
Pengundi di Sabah mungkin terdorong menyokong parti tempatan berikutan tanggapan ada campur tangan pemimpin nasional Pakatan Harapan-Barisan Nasional dalam PRN negeri itu, menurut seorang penganalisis politik.

Felo Akademi Sains Malaysia, Jayum Jawan, berkata PH dan BN kedua-duanya dilihat sebagai ‘orang luar’ dalam pandangan pengundi Sabah.

Jayum Jawan
Jayum Jawan.

Katanya, sikap pemimpin parti di Kuala Lumpur yang mahu membuat keputusan akhir berhubung hala tuju bahagian parti mereka di Sabah tidak memberi gambaran baik kepada dua gabungan itu, kerana ia dilihat angkuh dan tidak menghormati suara tempatan.

“Sikap mereka berkeras mahu mengetuai boleh dilihat sebagai cubaan untuk menguasai politik tempatan. Ini tidak akan memikat hati pengundi Sabah,” katanya kepada FMT.

Jayum menambah, keputusan yang dibuat secara atas ke bawah seperti ini akan menyebabkan PH dan BN kehilangan sokongan pengundi Sabah.

Dilihat dengan penuh curiga

Beliau turut berkata pemimpin nasional dalam PKR, DAP dan Amanah semakin dilihat dengan rasa curiga oleh rakyat Sabah, terutamanya apabila mereka kelihatan membuat keputusan bagi pihak rakyat Sabah.

Katanya, ada dalam kalangan ahli politik di Kuala Lumpur yang menunjukkan sikap angkuh itu turut dianggap sebagai pencetus ketegangan kaum dan agama di Semenanjung.

“Ini tidak disenangi oleh rakyat Sabah. Di sini, rakyat hidup harmoni. Kristian, Islam, animisme; mereka tidak mahu keharmonian ini diganggu oleh orang luar.

“Sudah lama ada rasa tidak puas hati terhadap cara pemimpin Malaya menguruskan Perjanjian Malaysia 1963 dan isu-isu negeri lain,” katanya sambil menambah isu utama berkaitan perjanjian itu masih belum diselesaikan dan terus membangkitkan emosi rakyat.

Semalam, sekretariat kerajaan perpaduan mengumumkan bahawa PH dan BN bersetuju untuk bekerjasama dalam PRN Sabah, susulan mesyuarat antara pengerusi mereka, Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi.

Walaupun rundingan kerusi dan perbincangan dengan parti lain akan diuruskan oleh pimpinan PH dan BN Sabah, sekretariat berkata keputusan akhir tetap akan dibuat oleh pimpinan nasional.

GRS dalam kedudukan baik, lebih baik bertanding solo

Jayum berkata PH dan BN mungkin membuat kesilapan besar apabila mengetepikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini menerajui pentadbiran negeri.

Katanya, GRS yang diketuai Hajiji Noor dan terdiri daripada lapan parti berasaskan Sabah mempunyai tarikan kuat walaupun masih muda, terutamanya kerana tidak terikat dengan agenda politik dari Semenanjung.

Hajiji Noor
Hajiji Noor.

“GRS berada dalam kedudukan yang baik sekarang,” katanya. “Mereka boleh bersaing dengan parti tempatan lain seperti Warisan untuk mendapat sokongan rakyat Sabah tanpa dilihat sebagai sebahagian daripada permainan politik Semenanjung.”

Beliau juga percaya GRS pimpinan Hajiji Noor akan lebih baik jika bertanding secara solo dalam PRN akan datang.

“Parti tempatan dan berasaskan Sabah akan lebih diterima oleh pengundi tempatan. Ini merupakan kelebihan kuat dan mampu mencabar pihak lawan.”

Hajiji sebelum ini berkata GRS bersedia bertanding secara solo sekiranya PH dan BN membuat keputusan untuk bekerjasama dimuktamadkan.

Ketua menteri itu berkata GRS sejak awal berpendirian bahawa parti Sabah harus menerajui kerajaan negeri kerana mereka lebih memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.