
Sidang kemuncak itu dianjurkan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan rakan-rakan kongsinya.
Timbalan Pengerusi KRPPM-SDG, Saifuddin Abdullah berkata forum itu disertai belia Malaysia dan negara-negara Asean, dan salah satu pengisiannya ialah makmal bertajuk ‘Belia dalam Politik dan Governans’.
Saifuddin berkata, beliau dijemput sebagai pengulas, termasuk tiga ahli panel muda iaitu Ejen Belia SDG Azim Bakthiar; Ahli Dewan Belia Johor, Afirul Idris Ayub Khan; Makmal Politikus Muda Daniel Lim.
“Forum ini bertujuan mengetengahkan peranan penyelidik muda, advokat mahasiswa dan inisiatif berlandaskan akademik dalam memacu SDG di dalam dan di luar kampus.
“Pada saya, ia penting untuk meningkatkan penglibatan belia dalam politik dengan SDG sebagai wahananya. Namun, ia tidak seharusnya politik biasa, tetapi politik baru, yang terdiri daripada dua komponen, iaitu integriti politik dan kerangka governans baru,” katanya dalam satu kenyataan.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, penglibatan belia dalam politik adalah langkah penting untuk memperkukuhkan demokrasi dan pembangunan negara.
Bagaimanapun, katanya, untuk mencapai matlamat tersebut, pendekatan politik yang digunakan haruslah berbeza dari politik tradisional yang seringkali dilihat oleh belia sebagai sesuatu yang tidak menarik atau relevan.
“Politik mesti dikembalikan kepada falsafah dan matlamat sebenarnya, dilaksana dengan bersih dan segar, serta dibawa ke tahap yang lebih murni dan tinggi.
“Ia mesti sesuai dengan tiga permintaan belia iaitu belia mahu suaranya didengar, peranannya diiktiraf dan isu-isunya ditangani dengan berorientasi-belia,” katanya.
Saifuddin berkata menerusi forum terbabit, inisiatif KRPPM-SDG, iaitu projek pembangunan peringkat tempatan dan akar umbi secara kerjasama antara ahli politik dengan rakan kongsinya merupakan sekolah politik berkesan dan mampu membuka mata belia untuk menyertai politik.