Bincang dulu, PKR Sabah harap GRS tak gerak solo

Bincang dulu, PKR Sabah harap GRS tak gerak solo

Ketua Mustapha Sakmud tidak mahu ada pergeseran sehingga parti kerajaan perpaduan bertembung menjelang PRN.

Mustapha Sakmud
Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud, berkata pihaknya faham dengan hasrat GRS mahu menjadi tunjang kerajaan negeri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PKR Sabah menaruh harapan agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berbincang dengan parti membentuk kerajaan perpaduan bagi mengelak pertembungan menjelang PRN, kata Mustapha Sakmud.

Katanya, pihaknya faham dengan hasrat GRS mahu menjadi tunjang kerajaan negeri.

“…itu kita boleh bincang. Apa yang penting jangan kita wujudkan pergeseran sehingga kita bertembung, jadi kita masih lagi membuka ruang untuk bekerjasama dengan GRS terutamanya,” katanya menurut Berita Harian di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual hadir pada program Madani Rakyat di Tawau esok dan berharap ada perbincangan ke arah itu dengan Ketua Menteri Hajiji Noor yang juga pengerusi GRS.

“Ini supaya hasrat kita dan perdana menteri dapat mengekalkan kesepaduan kerajaan perpaduan seperti di pusat, jadi kalau boleh kita bawa ke peringkat negeri.”

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar itu akur jika GRS memutuskan bergerak solo pada PRN Sabah seperti dinyatakan Hajiji semalam.

“Ini politik, jadi kalau akhirnya mereka mahu bergerak solo itu terpulang kepada GRS dan kita bersedia dengan segala kemungkinan itu.

“Jadi, terpulang kepada kepada rakyat Sabah membuat pilihan nanti,” katanya.

Mengulas faktor parti tempatan, beliau berkata, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional negeri juga mempunyai wakil parti tempatan, masing-masing Upko dan PBRS.

“Kita adalah gabungan parti nasional dan juga parti tempatan, itulah sebenarnya PH-BN itu dan ia adalah tunjang kepada kerajaan perpaduan atau kerajaan Madani di peringkat pusat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.