
Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS, Balachandran Gopal Krishnan, berkata penglibatan PN dengan masyarakat bukan Melayu belum cukup menyeluruh dan perlu diperbaiki.
“Kenyataan Muhyiddin boleh jadi pemangkin untuk meningkatkan keyakinan bukan Melayu, asalkan disusuli dengan tindakan nyata seperti dasar mesra rakyat pelbagai kaum, penglibatan wakil bukan Melayu dalam proses membuat keputusan, dan pemimpin PN aktif dalam program komuniti bukan Melayu,” katanya kepada FMT.
Balachandran menjelaskan penglibatan PN dengan masyarakat bukan Melayu perlu bagi menepis tuduhan bahawa PN hanya beretorik tentang memperjuangkan hak semua kaum.

Beliau juga berkata PN perlu menunjukkan bahawa memperjuangkan hak Melayu dan menjaga keharmonian antara kaum bukan perkara bercanggah.
“Menjadi Melayu tidak bermakna menolak yang lain. Apa yang perlu dilakukan ialah membawa naratif Melayu yang inklusif yang melihat kepentingan Melayu sebagai sebahagian daripada kepentingan nasional yang merangkumi semua kaum,” katanya.
Muhyiddin pada Ahad mengakui pernah kata “saya Melayu terlebih dahulu” pada 2010, tetapi mendakwa bahawa “itu tak penting lagi”.
Bekas perdana menteri itu berkata beliau tak pernah berfikir dirinya sebagai “Melayu sahaja”, menegaskan bahawa beliau “seorang Melayu prihatin dengan semua rakyat Malaysia”.
Pengumuman itu dikritik veteran DAP, Lim Kit Siang, yang mencabarnya untuk menunaikan kata-kata itu dengan mengepalai kempen menggesa rakyat mengutamakan kerakyatan sebelum etnik.

R Sanjeevan, daripada parti dipimpin Muhyiddin, berkata naratif Melayu dalam PN tidak perlu dihapuskan tetapi disampaikan dengan mesej perpaduan dan kebersamaan.
“Kita boleh jaga hak Melayu sambil berlaku adil kepada semua rakyat. Saya juga berpendapat bahawa, kita tidak perlu menjadi anti-Melayu untuk menjadi pro-rakyat,” kata timbalan ketua sayap bersekutu Bersatu itu.
Sanjeevan juga mendakwa persepsi negatif terhadap PN adalah hasil dakyah dan naratif yang ditanam oleh parti lawan.

“Dalam PN kita boleh katakan semua komponennya mempunyai ahli bukan Melayu. PAS ada DHPP, Bersatu ada bersekutu, Gerakan merupakan parti pelbagai kaum, Parti Rakyat India Malaysia mewakili masyarakat India. Ini lah kepelbagaian kita,” kata Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam.
Wendy berkata PN perlu mematahkan propaganda pihak lawan yang melabelkan PN ‘parti perkauman’.
“Apa yang perlu PN kuatkan adalah pendekatan, penjelasan, pemahaman kepada masyarakat bukan Melayu,” katanya.