Sabah PH seru PH-BN bincang di sebalik hal ‘poster boy’

Sabah PH seru PH-BN bincang di sebalik hal ‘poster boy’

Phoong Jin Zhe kata pemimpin kedua-dua pihak harus adakan lebih banyak perbincangan dalaman dan kurangkan sedikit kenyataan awam.

Phoong Jin Zhe n bung moktar radin
Ketua DAP Sabah Phoong Jin Zhe kata masih terlalu awal untuk mencadangkan ‘poster boy’, seminggu selepas Umno Sabah ketengahkan Bung Moktar Radin.
PETALING JAYA:
DAP Sabah seru Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mengadakan perbincangan bermakna menjelang PRN akan datang, dan bukannya mempertaruhkan calon untuk jawatan ketua menteri sebelum tiba masanya.

Ketuanya Phoong Jin Zhe berkata calon ketua menteri PH-BN mestilah seseorang yang mampu menarik pengundi dan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan yang berkhidmat untuk rakyat.

Phoong berkata masih terlalu awal untuk mana-mana pemimpin BN atau PH mencalonkan ‘poster boy’ pada ketika ini, walaupun sebelum perbincangan bermula.

“Mari kita berbincang terlebih dahulu. Tak perlu tergesa-gesa. Sesiapa sahaja boleh jadi ‘poster boy’. Tetapi yang penting siapa yang boleh menarik pengundi terbanyak, menawarkan kestabilan dan menyampaikan pembaharuan yang rakyat Sabah mahukan,” katanya kepada FMT.

“Kita sepatutnya adakan lebih banyak perbincangan dalaman dan kurangkan sedikit kenyataan,” katanya.

Phoong, yang juga anggota Jemaah Menteri Hajiji Noor, berkata PH mempunyai calon-calon tersendiri yang mampu menyandang jawatan tertinggi kerajaan negeri itu.

Bagaimanapun, perbincangan harus ditumpukan pada membina konsensus dan bukannya membuat tuntutan, menyokong watak-watak tertentu atau bertelagah untuk mendapatkan kerusi.

“Kita perlu selesaikan perbezaan kami dan sepakati matlamat kita. Kita perlu tanya pada diri sendiri: Apa yang rakyat Sabah mahukan? Mereka mahukan pembaharuan, manifesto yang kukuh dan kemajuan sebenar,” katanya.

Sekretariat kerajaan perpaduan sebelum ini mengumumkan bahawa PH dan BN bersetuju untuk bekerjasama bagi PRN Sabah, berikutan pertemuan antara pengerusi masing-masing, Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi.

Minggu lalu, Umno Sabah mencadangkan ketuanya, Bung Moktar Radin, dinamakan sebagai ‘poster boy’ BN bagi pilihan raya yang dijadualkan tahun ini. Bagaimanapun, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu terlalu awal.

Buka pintu untuk GRS

PH Sabah kini dalam suatu pakatan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan membuka pintu untuk memelihara pakatan itu itu.

Phoong berkata PH Sabah selesa bekerjasama dengan BN dan mana-mana parti politik lain, selagi keutamaan adalah membentuk pentadbiran yang stabil dan inklusif.

“Buat masa ini, BN dan PH bekerjasama, tetapi kami terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi membentuk kerajaan perpaduan. Matlamat kami ialah pembangunan dan pelaburan jangka panjang. Itu memerlukan lebih banyak perbincangan dalaman dan kurangkan sedikit kenyataan awam,” katanya.

GRS dan PH adalah sekutu dalam kerajaan Sabah, manakala BN menjadi pembangkang bersama Warisan. Bagaimanapun, keempat-empat parti itu rakan dalam kerajaan persekutuan.

Pada Januari 2023, BN Sabah hampir menggulingkan kerajaan negeri pimpinan GRS selepas ia menarik balik sokongan kepada Hajiji Noor sebagai ketua menteri. Hajiji dapat mengekalkan jawatan dengan sokongan PH Sabah.

Hajiji berulang kali menyatakan hasrat untuk meneruskan pakatan GRS-PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.