Penuntut IPT cabul warga AS dalam LRT didenda RM5,000

Penuntut IPT cabul warga AS dalam LRT didenda RM5,000

Rahman Md Moshiur yang juga warga Bangladesh didakwa melakukan perbuatan itu pada 9 Jan lalu.

Rahman Md Moshiur
Rahman Md Moshiur didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana mencabul seorang ahli patologi wanita warga Amerika Syarikat di dalam LRT. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang penuntut universiti swasta didenda RM5,000 atau dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencabul seorang ahli patologi wanita warga Amerika Syarikat di dalam koc tren aliran transit ringan (LRT) awal tahun ini.

Majistret S Mageswary menjatuhkan hukuman itu selepas Rahman Md Moshiur, 28, mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 26 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Warga Bangladesh itu didakwa melakukan kesalahan itu di dalam gerabak tren dari Stesen Universiti yang menghala ke Stesen Bangsar pada 9 pagi 9 Jan lepas mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, pula memohon hukuman denda yang ringan atas alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama di masa hadapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.