Pemilihan PKR: Rafizi lancar jelajah Hiruk bersama ‘pasukan’

Pemilihan PKR: Rafizi lancar jelajah Hiruk bersama ‘pasukan’

Pasukannya termasuk dua ahli Jemaah Menteri, seorang menteri besar serta bekas exco Selangor.

Nik Nazmi Nik Ahmad, Chang Lih Kang, Aminuddin Harun dan Rodziah Ismail antara pemimpin dalam pasukan Rafizi Ramli untuk pemilihan PKR.
PETALING JAYA:
Rafizi Ramli yang mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR dan pasukannya melancarkan jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (Hiruk) bermula Ahad ini.

Menerusi poster dikongsi pada hantaran di Facebook, pasukannya terdiri daripada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Kesemuanya akan mempertahankan kerusi naib presiden dimenangi pada 2022.

Turut terpapar pada poster itu Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail yang sekali lagi mencuba nasib bertanding ketua wanita PKR.

Bekas exco Selangor itu tewas kepada Menteri Pendidikan Fadlina Sidek pada pemilihan lalu.

Rafizi yang setakat ini ditentang Nurul Izzah Anwar berkata jelajah itu akan bermula di zon Melaka dan Negeri Sembilan pada Ahad ini.

Katanya, jelajah itu akan membawa semangat Hiruk iaitu satu usaha untuk memastikan PKR kekal teguh dengan idealisme reformasi, lebih-lebih lagi ketika berada di tampuk kuasa.

“Terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus.

“Saya mohon doa dan dokongan semua agar kita terus hidupkan semangat reformasi, walau dalam ujian kuasa,” katanya.

Rafizi mula memegang jawatan timbalan presiden PKR selepas menewaskan bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pada pemilihan tiga tahun lalu.

Beliau dijangka berdepan cabaran besar menentang Nurul Izzah yang menerima sokongan daripada banyak bahagian PKR di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.